sukan

Saya minta maaf dan terima kasih — Zii jia

Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia buntu selepas tewas seawal pusingan pertama di Terbuka Jepun semalam.
Malah, beliau tidak berselindung apabila mengakui masih belum dapat melihat sebarang peningkatan positif mengenai prestasinya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Semalam, Zii Jia tewas di tangan wakil tuan rumah, Kenta Nishimoto 22-20, 17-21, 19-21 dan ia adalah kekalahan pusingan pertama kedua berturut-turut di bawah jurulatih baharu, Wong Tat Meng buat pemain berusia 25 tahun itu selepas turut kecundang di Terbuka Korea Selatan, minggu lalu.

Malah, kekalahan itu adalah yang keempat berturut-turut buat bekas juara Seluruh England itu termasuk di Terbuka Indonesia dan Terbuka Singapura bulan lalu.

Selain itu, Zii Jia juga kecundang di pusingan pertama di Terbuka Malaysia, pertengahan Januari lalu.

Justeru, Zii Jia mengakui dirinya masih belum dapat melihat sebarang peningkatan diinginkan meskipun pada ketika ini sudah mendapatkan khidmat Tat Meng, awal bulan ini.

“Tewas sekali lagi, perlawanan yang mengecewakan,” kata Zii Jia. “Itu sahaja yang saya boleh beritahu. Saya tak nampak sebarang progres (ke Sukan Olimpik Paris 2024), saya minta maaf dan terima kasih.”

Selepas ini, pemain diranking ke-18 dunia itu dijadual menyertai Terbuka Australia dari 1 hingga 6 Ogos ini dan dijadual bertemu pemain dari pusingan kelayakan pada pusingan pertama di Sydney, nanti.

sumber:- BH

Sementara itu, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong turut menamatkan cabaran pada Terbuka Jepun apabila tewas 17-21, 14-21 kepada pemain tidak ternama dari Jepun, Koki Watanabe di pusingan kedua, hari ini.