BEKAS pengendali tersohor Arsenal, Arsene Wenger, menyuarakan ketidaksetujuan terhadap dasar semasa yang membenarkan juara Liga Europa layak secara automatik ke Liga Juara-Juara.
Kenyataan Wenger hadir ketika dua gergasi England, Manchester United dan Tottenham Hotspur, sedang bersaing merebut tempat ke final Liga Europa yang bakal berlangsung di Stadium San Mames, berkapasiti 53,289 penonton.
Kedua-dua pasukan membawa kelebihan agregat menjelang aksi separuh akhir kedua, namun dijangka menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim ini di luar kelompok zon kelayakan Eropah — United kini di tangga ke-15, manakala Spurs di tangga ke-16.
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sebelum ini mengubah peraturan pada 2014, membenarkan juara Liga Europa untuk turut serta dalam Liga Juara-Juara musim berikutnya, namun, Wenger mempersoalkan kewajaran langkah itu.
“Tidak, mereka sepatutnya hanya layak semula ke Liga Europa, bukan ke Liga Juara-Juara.
“Terutama sekali dalam konteks Liga Perdana Inggeris, yang sudah pun diperuntukkan lima slot ke Liga Juara-Juara.“Saya fikir perkara ini perlu dinilai semula oleh UEFA. Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat bagi memastikan Liga Europa kekal relevan dan kompetitif, insentif besar seperti tiket ke Liga Juara-Juara itu perlu ditawarkan,” kata Wenger.
Sebagai rekod, Manchester United pernah memanfaatkan peraturan tersebut apabila menjuarai Liga Europa 2018 di bawah kendalian Jose Mourinho untuk mara ke Liga Juara-Juara, walaupun hanya menamatkan kempen liga domestik di tangga keenam.
Sejak Liga Europa dijenamakan semula pada musim 2009-2010, tiada pasukan yang menamatkan saingan lebih rendah daripada kedudukan ke-12 liga domestik berjaya mara ke final atau menjuarainya.
Sevilla muncul juara pada 2023 walaupun menamatkan La Liga di tangga ke-12, manakala Fulham, juga di kedudukan ke-12, tewas dalam final edisi 2010.
Wenger, yang menamatkan karier panjangnya bersama Arsenal pada 2018, kini bertugas sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Global Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
sumber:- SH
Sepanjang peranannya, beliau turut mencadangkan beberapa pembaharuan besar termasuk perubahan undang-undang ofsaid dan cadangan kontroversi Piala Dunia diadakan setiap dua tahun.