Bekas pemain kebangsaan, James Selvaraj menegaskan semua pihak tidak perlu menuding jari antara satu sama lain di sebalik kegagalan skuad badminton negara di Piala Sudirman.
Menurutnya, beliau percaya Malaysia sama sekali tidak memiliki peluang untuk ke final, apatah lagi untuk memenangi Piala Sudirman sekiranya sekadar mengharapkan gandingan beregu untuk meraih kemenangan.
Ketiadaan pemain nombor sembilan dunia, Lee Zii Jia meninggalkan kelompongan yang besar pada kempen kali ini sekali gus menyaksikan skuad negara perlu meraih kemenangan menerusi beregu lelaki, beregu campuran dan beregu wanita.
Situasi ini terbukti selepas Malaysia tewas 2-3 di tangan Jepun pada aksi penentuan juara kumpulan sebelum tumbang 0-3 di tangan pasukan pilihan, China pada suku akhir.
Tekanan begitu besar dirasai oleh beregu lelaki dan wanita nombor empat dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah yang masing-masing tewas di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi serta Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
James menegaskan Malaysia akan berdepan kesukaran untuk berentap dengan lima pasukan terbaik iaitu China, Korea Selatan, Indonesia dan Jepun jika mereka tidak mampu bersaing dalam kesemua lima sektor dan lebih baik buat mereka untuk fokus kepada Piala Thomas.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa kita hanya mampu bersaing untuk tiga mata buat masa ini memandangkan kita tidak memiliki kekuatan yang seimbang dalam perseorangan lelaki dan perseorangan wanita.
“Situasi ini tidak akan membantu kita untuk menang apatah lagi mara sehingga ke final.
“Gandingan beregu perlu memenangi semua tiga mata dan ini meletakkan mereka dalam tekanan yang begitu tinggi.
“Tidak dinafikan (Leong) Jun Hao beraksi dengan cemerlang ketika menentang Jepun tetapi kita tidak dapat memberi cabaran yang lebih sengit kerana mereka lebih baik dalam kesemua lima acara.
“Pearly-Thinaah adalah satu-satunya gandingan yang boleh disandarkan harapan dalam acara beregu wanita tetapi mereka sering bergelut menentang empat pasukan terbaik.
“Jadi, dengan beberapa gandingan lelaki yang baik serta adanya Zii Jia ketika ini, kita perlu fokus kepada Piala Thomas di mana kita mampu memberi cabaran kepada pasukan lain,” katanya.
James turut memberi amaran bahawa kecederaan terbaharu Zii Jia sememangnya satu kerisauan dan Jun Hao perlu tampil dengan aksi lebih baik bagi memberi lebih keseimbangan dari sektor perseorangan lelaki sekali gus memantapkan skuad Piala Thomas.
“Jun Hao sentiasa bermula dengan baik dan kemudiannya gagal mengekalkan konsisten, jadi dia perlu meningkatkan daya ketahanannya. Jika dia bertambah mantap, kita akan ada skuad Piala Thomas yang lebih kuat.
“Kita perlu terima bahawa kita tiada sumber yang berkualiti untuk berentap pada Piala Sudirman. Kita perlu fokus kepada Piala Thomas yang sentiasa menjadi kekuatan kita,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Kejurulatihan Beregu negara Rexy Mainaky menjelaskan pemilihan pemain di Piala Sudirman dibuat secara kolektif oleh barisan kejurulatihan.
Penjelasan itu susulan beliau mendapat kecaman daripada bekas pemain dan penyokong susulan kekalahan Malaysia 2-3 kepada Jepun pada peringkat kumpulan pada Khamis.
Kritikan ditujukan kepada Rexy selepas menurunkan Aaron Chia-Wooi Yik berbanding pasangan nombor dua dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam perlawanan menentang gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
sumber:- BH
Terdahulu, pencapaian terbaik skuad negara di Piala Sudirman adalah layak ke separuh akhir sebanyak tiga kali, berbanding lima kejuaraan Piala Thomas dengan kali terakhir dimenangi pada 1992 di laman sendiri, 33 tahun lalu.