Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) harus mencari jalan atau membantu menyelesaikan kemelut beberapa kelab yang mengalami rintangan besar beraksi dalam kancah tempatan.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi ruang kepada dua entiti utama itu untuk mengendalikan masalah tersebut dengan mengambil kira pelbagai faktor.
Rentetan banyak spekulasi mengenai status penyertaan pasukan dalam Liga Super, AFC enggan mencampuri urusan tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada FAM dan MFL meskipun barada dalam pengetahuan badan induk bola sepak Asia itu.
Berdasarkan laporan media tempatan, AFC menyeru agar FAM dan MFL mencari jalan supaya ia tidak terus menjadi kelaziman dalam arena bola sepak negara.
“Kita tidak campur urusan atau apa yang berlaku dalam senario bola sepak Malaysia. Biarlah pengurusan baharu FAM dan MFL menyelesaikan masalah terbabit.
“Kepimpinan baharu FAM juga harus diberikan peluang untuk merangka strategi berkesan supaya masalah kewangan dan tunggakan gaji pasukan Liga Super dapat diselesaikan segera.
“Namun, sebenarnya agak menyedihkan apabila terdapat pasukan terpaksa ditutup kerana menghadapi masalah kewangan kronik kerana ia sebenarnya adalah satu kerugian,” katanya kepada Arena Metro.
Tanda tanya berkenaan Kedah, Kelantan Darul Naim (KDN), Sri Pahang dan terbaru Perak, masih lagi tidak diketahui dan harus menunggu keputusan akhir adakah benar pasukan-pasukan itu tidak akan lagi bertanding musim depan.
sumber:- stadium astro
Untuk rekod, masalah kewangan dan tunggakan gaji merupakan topik utama kepada barah yang semakin besar dalam bola sepak tempatan.