Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memberi isyarat yang mereka kini layak memikul tanggungjawab sebagai taruhan utama skuad badminton negara di Piala Sudirman.
Pada aksi terakhir peringkat Kumpulan C Piala Sudirman menentang Jepun di Xiamen, China hari ini, pasangan ‘kontroversi’ itu tidak menghadapi masalah menghadiahkan mata pertama.
Ia hasil kemenangan beregu ranking empat dunia itu ke atas pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Arisa Igarashi 21-19, 21-8 dalam masa 39 minit.
Begitupun, kemenangan itu tidak cukup membantu skuad negara bergelar juara kumpulan apabila tewas 2-3 yang menyaksikan Jepun menang dalam acara perseorangan wanita, beregu lelaki dan wanita.
Tang Jie-Ee Wei sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas berdepan perselisihan faham sehingga menyebabkan mereka dipisahkan dengan Piala Sudirman menjadi pentas pertama mereka bergandingan semula sejak bulan lalu.
Kejayaan menewaskan pasangan Jepun itu jelas memberi impak positif selain memberi dilema kepada barisan kejurulatihan dengan skuad negara turut dikuatkan pasangan ranking ketiga dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.
“Tiada tekanan. Kami sangat bermotivasi kerana ini adalah kejohanan berpasukan. Kami gembira kerana dapat mewakili Malaysia dan membantu rakan sepasukan memulakan aksi dengan baik,” kata Tang Jie ketika ditemuramah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Nada sama turut disuarakan oleh Ee Wei yang berkata sokongan rakan sepasukan turut menyumbang kepada prestasi cemerlang mereka di gelanggang.
sumber:- BH
“Saya memang gemar bermain dalam kejohanan berpasukan seperti ini. Motivasi kami meningkat kerana semua rakan sepasukan bersorak untuk kami dan kami bermain untuk negara. Saya gembira kami dapat memberikan permulaan yang baik,” kata Ee Wei.