sukan

Tang Jie-Ee Wei gembira julang Malaysia

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menegaskan fokus mereka ketika ini sepenuhnya terarah kepada membantu skuad negara dalam kempen Piala Sudirman 2025 yang sedang berlangsung di Xiamen, China.

Pasangan ranking keempat dunia itu kembali bergandingan dalam perlawanan rasmi dengan menyumbang mata pertama negara ketika menewaskan Australia 4-1 dalam aksi kedua Kumpulan C, semalam.

Dalam perlawanan itu, Tang Jie-Ee Wei yang berdepan ‘kontroversi’ sebelum ke China menampilkan aksi meyakinkan apabila mudah menundukkan gandingan Ricky Tang-Gronya Somerville dengan keputusan straight set 21-8, 21-12 dalam tempoh hanya 27 minit.

Skuad negara dijangka akan berdepan cabaran sebenar aksi penting menentang Jepun, esok dalam perlawanan terakhir Kumpulan C selepas mengesahkan kemaraan ke peringkat lapan terbaik dengan kemenangan ke atas Australia dan Perancis.

“Kami sangat teruja dapat kembali beraksi bersama di kejohanan utama seperti ini. Ini adalah kejohanan pertama kami selepas disatukan semula, dan ia amat bermakna kerana kami bermain untuk Malaysia.

“Kami menang perlawanan pertama kami dan kami mahu kekalkan momentum ini. Fokus kami sekarang adalah untuk menang setiap perlawanan demi negara,” kata Tang Jie dalam temuramah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ee Wei dalam pada itu mengakui bahawa perasaan ketika ini sama seperti ketika dia dan Tang Jie membuat penampilan sulung di kejohanan berpasukan campuran itu pada edisi 2023.

“Perasaan ini sama seperti dua tahun lalu ketika kami bermain dalam perlawanan pertama kami. Apa yang penting, kami akan masuk ke gelanggang dan berikan 100 peratus dan akan cuba menang setiap perlawanan,” kata Ee Wei.

Selain Tang Jie-Ee Wei, pasukan negara dalam kategori beregu campuran turut dikuatkan beregu ketiga dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan beregu ke-14 dunia, Pang Ron-Cheng Su Yin.

sumber:- BH

Sebagai rekod, Malaysia pada edisi 2023 apabila mara ke peringkat separuh akhir sebelum menamatkan kempen di tempat ketiga apabila tewas kepada juara bertahan, China.