Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shio Hong Wan bersedia untuk kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan tumit dan merebut semula tempat dalam kesebelasan utama apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) menyingkap tirai awal Ogos ini.
Pemain berusia 24 tahun itu berkata, kecederaan dialami sejak September tahun lalu menyebabkan dia tidak dapat beraksi bersama skuad Harimau Selatan pada baki saingan Liga Super dan kali terakhir beraksi menentang Shanghai Port pada 18 September lalu ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“Saya tidak dapat beraksi selama tujuh bulan dan ia kecederaan dalam tempoh agak panjang namun saya lega kecederaan dialami sudah pulih malah saya mula menjalani latihan bersama JDT dan berusaha untuk mendapatkan tahap kecergasan optimum.
“Saya menanti untuk bermula saingan baharu liga kerana begitu mengidam kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif dan banyak perkara perlu saya lakukan terutama bagi meningkatkan kembali kualiti permainan.
“Ketika ini tahap kecergasan saya masih belum berada 100 peratus lagi, banyak lagi latihan yang perlu saya jalani dan tidak mustahil untuk mencapai tahap maksimum memandangkan di JDT segala fasiliti yang ada semuanya berkelas dunia,” katanya.
Bekas pemain Wolverhampton Wolves itu mengakui dirinya amat merindui aksi dan sebagai pemain profesional, dia mahu segera memantapkan diri bagi persiapan mengharungi kempen Liga M pada musim baharu ini.
sumber:- BH
Malah Hong Wan mengesahkan sejak dua minggu lalu, dia sudah menjalani latihan di padang selepas kerap menghabiskan masa dengan memberi tumpuan kepada latihan di gimnasium.