sukan

Pasukan Liga Super sah serius dapatkan Luqman

Terengganu FC (TFC) serius untuk mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2025/2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pihaknya berminat untuk ‘rekrut’ pemain kelab Belgium, KV Kortrijk itu.

Jelasnya, jika tiada halangan, pihaknya akan berunding secara lebih lanjut dengan pemain berusia 23 tahun kelahiran Kelantan itu pada bulan depan.

“Kami sudah risik pemain itu (Luqman) bagi membolehkannya beraksi bersama TFC pada saingan Liga M nanti, lagi pun kami serius untuk mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan itu.

“Bagi memastikan ianya menjadi kenyataan, jika tiada aral pihak kami akan mengadakan pertemuan dengan pemain itu pada Mei nanti untuk perbincangan lebih terperinci.

“Pihak kami mengharapkan perjumpaan itu nanti bakal berakhir dengan keputusan positif dalam misi TFC untuk memperkasakan lagi jentera serangan pada saingan akan datang.

“Pada masa sama minit permainan penyerang tempatan itu bakal bertambah sekali gus mampu meningkatkan lagi prestasinya,” katanya.

Terdahulu pada Mac lalu, Sabri memaklumkan sedia membuka pintu buat bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu beraksi bersama TFC selepas kontraknya bersama kelab Belgium itu berakhir pada Jun ini.

Sebelum ini, Luqman mengesahkan 90 peratus akan kembali beraksi di Liga M sebaik kontraknya bersama kelab KV Kortrijk berakhir Jun ini.

Dia sebelum ini diikat KV Kortrijk pada musim 2020 lalu dengan kontrak selama lima tahun dan melakar sejarah anak tempatan pertama yang membuat kemunculan dalam liga utama di Eropah selepas beraksi bersama skuad senior KV Kortrijk.

sumber:- HM

Bekas rakan sepasukan Arif Aiman Mohd Hanapi dalam AMD itu turut pernah beraksi bersama kelab Iceland, Njarovik (2023) dan YSCC Yokohama (2024) di Liga Jepun, dengan kedua-duanya secara pinjaman dari KV Kortrijk.