sukan

Komen Subkhiddin isu pengadil Final

Terdapat banyak kelemahan perlu diperbaiki segera oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi meningkatkan kualiti pengadilan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pandangan itu disuarakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh selepas beliau meneliti semula aksi final Piala Malaysia babitkan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC Sabtu lalu.

Katanya, terdapat beberapa keputusan dibuat pengadil, Razlan Joffri Ali sedikit meragukan namun beliau enggan menyalahkan bulat-bulat kesalahan itu kepada pengadil terbabit.

Sebaliknya, beliau menyarankan agar jabatan pengadil diberi peluang untuk memperbaiki diri di sebalik kritikan terhadap mutu pengadilan perlawanan akhir Piala Malaysia itu.

“Berdasarkan beberapa klip video berkaitan perlawanan akhir tersebut, saya berpendapat pihak jabatan pengadil masih dan seharusnya diberi peluang untuk memperkukuh serta memantapkan kefahaman para pengadil.

“Usaha ini amat penting sebelum mereka diberikan kepercayaan untuk mengendalikan perlawanan penting,” kata bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) itu.

Terdahulu, beberapa keputusan Razlan dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil mencetuskan kritikan dan cemuhan penyokong.

Layangan dua kad kuning pada separuh masa pertama ke atas pemain Tok Gajah, Sergio Aguero nyata menimbulkan keraguan.

Malah kedudukan Sri Pahang yang sedang mendahului JDT dengan 1-0 dilihat seolah memberi tekanan kepada Razlan yang kerap mencari kesalahan anak buah Fandi Ahmad biarpun ia hanyalah terjahan ringan.

Pengamal media juga turun hairan, dua kekasaran ketua pasukan JDT, Natxo Insa sebaliknya tidak diberikan apa-apa kad amaran sekali gus mempersoalkan kredebiliti Razlan mengadili aksi itu.

Untuk rekod, Razlan pernah dijatuhkan hukuman oleh FAM pada tahun lalu selepas didapat membuat beberapa keputusan kurang tepat ketika aksi Liga Super antara JDT dan Perak.

sumber:- HM

Subkhiddin, yang berpengalaman luas dalam bidang pengadilan, juga menggesa agar semua pihak memberikan ruang kepada jabatan pengadil untuk meneliti kelemahan sedia ada dan melaksanakan penambahbaikan demi meningkatkan kualiti pengadilan di peringkat tertinggi.