Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat menafikan khabar angin dirinya akan menyertai kelab dari Indonesia bagi mengharungi kempen Liga 1 Indonesia pada musim depan.
Pemain warisan Indonesia itu yang ditemui selepas sambutan gilang gemilang JDT `The Chapter 2: The 11′ di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi terkejut dengan perkhabaran berkenaan dan mengetahui dia langsung tidak tahu akan perkara itu.
“Itu semua khabar angin yang saya akan ke Liga 1 Indonesia, sejujurnya saya belum tahu lagi mengenai status saya bersama JDT kerana masih belum ada perbincangan mengenai lanjutan kontrak untuk kekal dalam skuad Harimau Selatan.
“Ini kerana kami sebagai pemain dan juga pihak pengurusan begitu sibuk pada minggu ini tatkala membuat persiapan untuk final Piala Malaysia dan saya menghormati pihak pengurusan dan minggu depan saya akan ketahui maklumat berhubung status kontrak dan kita tunggu sahaja.
“Tidak dinafikan saya amat berbangga menyarung jersi JDT sejak menyertai pasukan itu tiga musim lalu dan kelab ini cukup menakjubkan ditambah kombinasi pengurusan dan pemain membentuk persefahaman yang jitu yang membolehkan JDT meraih `hatrik quadruple’ pada musim 2024 dan 2025,” katanya.
Sebelum ini, rancak diperkatakan Amat bakal menyertai kelab Persib Bandung yang dibimbing bekas jurulatih JDT, Bojan Hodak malah ada juga beberapa kelab seperti Dewa United dan Bali United rurut dikaitkan untuk merekrut pemain berusia 33 tahun itu.
sumber:- HM
Khabar angin ini timbul disebabkan kontrak bek tengah Indonesia itu bakal berakhir pada 31 Mei ini. Ini berdasarkan semakan terkini di Transfermarkt dan selepas tarikh tersebut, Amat akan menjadi ejen bebas dan bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya.