Pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao dan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan menggalas tanggungjawab lebih besar apabila dilantik sebagai kapten di kejohanan Piala Sudirman 2025.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memaklumkan peranan itu diberikan kepada Jun Hao dan Pearly dalam usaha membantu meningkatkan lagi moral pemain lain untuk meraih keputusan positif.
Beliau berkata, kedua-dua pemain itu juga berkemampuan memimpin rakan sepasukan terutamanya ketika berhadapan situasi genting atau tekanan tinggi.
“Pemilihan Jun Hao dan Pearly sebagai kapten merupakan sesuatu yang positif. Pearly sebelum ini hanya di belakang tabir tetapi sekarang sangat aktif dengan berkongsi maklumat dalam kumpulan, begitu juga Jun Hao.
“Pemilihan kedua-dua pemain ini membolehkan mereka berdua saling membantu. Jika seorang sahaja memikul tugas ini, mereka ada tugas masing-masing yang perlu diberikan fokus,” katanya, ketika ditemui selepas sesi simulasi pasukan, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Selain itu, Rexy berkata, barisan kejurulatihan mengadakan latihan simulasi bagi menguji kemampuan pemain negara menjelang saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China yang bermula 27 April ini.
Katanya, aksi simulasi itu bertujuan supaya pemain merasai sendiri suasana kejohanan selain mendapatkan keyakinan tinggi bagi mengharungi kejohanan terbabit.
“Aksi simulasi ini bukan kita mahu tengok pasukan akan ke mana tetapi lebih kepada progres yang dibuat dan apa yang kita nak. Memandangkan sudah hampir dengan kejohanan, kita mahu lihat fokus, mental dan psikologi.
sumber:- HM
“Faedah simulasi ini adalah kita boleh lihat dari segi persiapan pemain-pemain sebelum melangkah masuk ke dalam gelanggang. Kita juga mahu tengok bagaimana prestasi mereka,” katanya.