sukan

Shevon sanggup tukar pasangan

Pemain beregu campuran negara, Shevon Lai sanggup ‘berpisah’ sementara dengan suaminya jika terpaksa bergandingan bersama pasangan baharu dalam kempen Piala Sudirman 2025 yang akan berlangsung di Xiamen, China mulai 27 April ini.

Shevon yang ketika ini berpasangan dengan suaminya, Goh Soon Huat berkata, keputusan itu adalah demi memenuhi tanggungjawab kepada negara dalam usaha memastikan pasukan mampu memperoleh keputusan positif di kejohanan itu.

“Kalau pasukan minta kami berpisah, saya okey. Demi pasukan, kami sanggup. Malah, ia satu pengalaman yang baik.

“Bila main dengan pasangan lain, kita boleh belajar benda baru… gaya permainan pun berbeza, jadi rasa macam ‘refresh’,” katanya, ketika ditemui selepas sesi simulasi pasukan, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), sebentar tadi.

Mengikut rekod, Piala Sudirman tahun ini menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia, dan barisan pemain negara dibarisi nama-nama besar seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, serta Pearly Tan-M Thinaah.

Selain itu, Shevon berkata, tekanan untuk mencatat keputusan baik bukan perkara asing, namun keyakinannya lahir daripada pengalaman dan kematangan yang ditempa selama ini.

“Tekanan memang sentiasa ada. Tapi ia bergantung pada cara kita hadap. Kita boleh pilih sama ada nak fikir ranking atau kemenangan, atau kita kawal emosi dan nikmati permainan.

“Saya dan Soon Huat dah melalui banyak perkara, dan kini kami lebih tahu macam mana nak imbangkan emosi di gelanggang,” katanya.

Ditanya mengenai peranannya selaku pemain senior dalam skuad kali ini, Shevon dengan rendah diri menjelaskan beliau tidak melihat dirinya sebagai ketua atau ‘sentiasa betul’ dalam semua aspek termasuk teknikal permainan.

sumber:- HM

“Kalau pemain muda perlukan nasihat, saya sedia bantu. Tapi saya pun perlu masa nak sesuaikan diri dengan semua dalam kumpulan. Kita bukan sentiasa betul, dan kadang-kadang kita pun boleh belajar dari pemain muda,” katanya.