sukan

Cklamovski bertindak lebih awal

Pemain skuad Harimau Malaya tampaknya perlu ‘mengorbankan’ cuti rehat pramusim Liga Malaysia (Liga M) apabila bakal dipanggil lebih awal ke kem latihan pusat bagi menghadapi aksi getir berdepan Vietnam, 10 Jun ini.

Saingan Liga M yang sudah melabuhkan tirainya hujung minggu lalu, dijangka memulakan kembali musim baharu pada Julai depan dengan kini, rata-rata pemain sibuk merangka percutian dan berehat bersama keluarga.

Begitupun tempoh rehat tiga bulan itu terpaksa dipendekkan buat tonggak utama skuad Harimau Malaya apabila pengendali negara, Peter Cklamovski bercadang mengadakan latihan lebih awal.

Katanya, bagi memastikan tahap kecergasan pemain berada di tahap optimum sebelum menentang Vietnam, pasukan perlu menjalani latihan lebih rapi serta diuji dalam dua aksi persahabatan bagi meningkatkan prestasi pemain.

“Ia satu situasi unik buat kita kerana musim (Liga Malaysia) berakhir pada April. Pemain-pemain akan berehat sebentar apabila musim tamat.

“Kemudian, kita akan menyertai kem lebih awal kerana kita ada perlawanan yang penting menentang Vietnam. Kita tahu ini satu perlawanan yang penting kerana Vietnam satu lawan yang sukar.

“Kita perlukan tempoh persiapan bersama-sama (yang mencukupi) untuk aksi berkenaan,” katanya ketika ditemubual stesen televisyen swasta tempatan.

Kebiasaannya, kem negara bermula seminggu lebih awal sebelum tarikh perlawanan dan jika situasi terkini itu diambil kira, kemungkinan barisan pemain dijangka memulakan latihan pada hujung Mei ataupun awal Jun ini.

sumber:- HM

Aksi berdepan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini dianggap misi penting dengan sasaran meraih kemenangan ke atas lawan di depan penyokong sendiri.