“Saya gembira dan bangga dengan pencapaian Kuching City musim ini, daripada kedudukan di bawah pada awal musim, pasukan melonjak naik dan menamatkan kempen Liga Super di tempat keempat. Alhamdulillah,” kata pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak.
Pengendali kelahiran Singapura itu jelas gembira dengan komitmen dipamerkan pemain Kuching City sepanjang musim walaupun pada peringkat awal tidak ramai memberikan harapan kepada pasukan itu untuk bergelar pesaing terkuat liga musim ini.
Katanya, walaupun kelab menyediakan peruntukan perbelanjaan yang sederhana berbanding sesetengah pasukan lain dengan bajet yang lebih besar, Kuching City berjaya membina reputasi tinggi di pentas liga bola sepak domestik berprestij itu.
“Saya puas hati dengan pencapaian yang kita capai dan sudah tentu ia hasil komitmen tinggi semua pihak.”Kredit perlu diberikan kepada mereka termasuk pengurusan kelab, barisan kejurulatihan, peminat dan pemain, walaupun ada ketikanya kita berdepan dengan masalah kecederaan, ia dapat diatasi dengan baik.
“Perpindahan pemain pada sesi kedua ternyata memberi impak positif kepada prestasi pasukan kerana kita menghadapi kempen liga yang panjang,” kata Aidil Sharin selepas perlawanan terakhir menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Kuching City FC melakar kemenangan selesa menewaskan skuad Hobin Jang Hobin, 3-1 hasil ledakan dua gol oleh Jordan Mintah dan Petrus Shitembi.
Mengulas lanjut mengenai cabaran musim hadapan, Aidil Sharin menegaskan bahawa pasukan itu tidak akan membuat perubahan besar sebaliknya merancang untuk mengekalkan kira-kira 90 peratus pemain yang sedia ada.
“Kita tidak boleh rombak banyak sangat untuk musim depan kerana ia boleh menjejaskan rentak pasukan.
“Mungkin kita ubah tiga atau empat pemain berpandukan kepada kelemahan yang kita lihat pada musim ini dan bina pasukan terbaik bagi menuju ke arah pencapaian lebih baik pada musim 2025-2026 sekali gus berpeluang beraksi di pentas AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada tahun berikutnya,” katanya.
sumber:- BH
Kuching City FC menamatkan saingan Liga Super musim 2024-2025 di tangga keempat selepas meraih 39 mata iaitu kurang satu mata daripada Sabah FC yang menduduki tangga ketiga liga.