Masih banyak ‘kerja rumah’ perlu dilakukan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah sebelum mereka benar-benar bersedia untuk menggalas cabaran di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pearly mengakui kekuatan mental mereka masih belum berada pada tahap terbaik dan mahu memperbaikinya bagi memastikan mampu bersaing dengan gandingan elit dunia.
“Apa yang perlu dipertingkatkan ketika ini adalah dari segi mentaliti. Setiap keputusan di atas gelanggang amat penting, dan saya rasa kami masih lemah dalam aspek ini.
“Kami banyak berbincang dengan jurulatih sejak kebelakangan ini dan diharapkan segala yang dirancang akan membuahkan hasil dalam kejohanan akan datang,” kata Pearly dalam temu bual dengan stesen televisyen China, CGTN.
Gandingan ranking kelima dunia itu membuka tirai musim 2025 dengan langkah positif apabila mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka India sebelum muncul naib juara Masters Indonesia, Januari lalu.
Bagaimanapun, mereka terkandas di suku akhir Masters Orleans dan Seluruh England, bulan lalu manakala tersingkir di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia, minggu lalu.
Sementara itu, Thinaah turut senada dengan pandangan Pearly, sambil menekankan bahawa aspek komunikasi menjadi kekuatan utama mereka untuk terus bersaing, khususnya dalam situasi mencabar.
“Persaingan dalam beregu wanita kini semakin sengit, jadi kami perlu benar-benar bersedia dari segi mental. Apa yang banyak membantu kami adalah komunikasi di antara satu sama lain, walaupun ketika melalui detik sukar,” jelasnya.
sumber:- BH
Pearly-Thinaah ketika ini dalam persiapan bagi membantu skuad negara menghadapi kempen Piala Sudirman yang akan berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.