Kemelut dalam kem olahraga kembali panas apabila beberapa atlet pecut mengambil keputusan melancarkan mogok dengan tidak menghadiri latihan yang dikendalikan oleh Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard, sejak sebulan lalu.
Atlet turut menerima ugutan akan dibuang daripada program jika mereka bersuara meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara pengurusan beliau.
Atas beberapa sebab, terutama apabila prestasi semakin merudum dengan ketara, atlet dalam acara pecut seperti Raja Pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan, pemenang rekod kebangsaan 100 meter (m) Zaidatul Husniah Zulkifli dan juara berganda Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal memilih meninggalkan kem olahraga negara dan kembali berlatih dengan dipantau jurulatih yang ‘dibuang’ MA, Mohd Poad Md Kassim.
Isu kejurulatihan semakin parah hari ini, ia tidak hanya membelenggu barisan pelari pecut tetapi turut membabitkan penyumbang utama pingat di Sukan Sea dalam acara baling tukul besi seperti Jackie Wong dan Grace Wong yang dibiarkan terkapai-kapai tanpa jurulatih khusus sejak tamatnya Sukan Asia Hangzhou 2022.
Khairul Hafiz berkata, cara pengurusan Ballard turut menjadi perbalahan apabila selepas hampir dua tahun beliau bergelar Pengarah Teknikal, langsung tiada program direncanakan yang sepatutnya menjadi tugasnya.
“Kami hanya berlatih dan berlatih. Dua tahun tanpa sebarang perancangan. Malah sudah lama kami terperap tanpa kejohanan di luar negara,” katanya.
Kata-kata Khairul Hafiz itu diperkuatkan lagi apabila dimaklumkan ketika mesyuarat Ahli Jawatankuasa MA akan menghantar 37 atlet ke Kejohanan Olahraga Asia (ATF) tapi siapakah atlet terpilih kerana atlet sendiri tidak tahu syarat kelayakan dan siapa yang layak beraksi.
Apa yang lebih menimbulkan rasa kurang senang selepas dikhabarkan Ballard menerima gaji yang tinggi sehingga lima angka tapi tiada hasil yang disumbang selepas dua tahun bersama kem olahraga.
“Saya bukan nak burukkan sesiapa, olahraga sudah tak macam dulu. Kesefahaman antara kami dan orang atas langsung tiada.
“Saya pernah diugut, jika tak berlatih dengan dia (Ballard), kontrak tak akan disambung. Sebab saya ingin terus berlari untuk negara saya ikutkan saja.
“Tapi cuba bayangkan daripada catatan masa sekitar 10.5 saat (s), 10.6s lepas berlatih dengan Ballard, terus jadi 10.99s.
“Bila tiada kemajuan, perkara itu disuarakan, ada atlet dihina dan dimaki sesuka hati,” kata Khairul.
Perkara yang sama turut disuarakan oleh Zaidatul Husniah, pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 11.49s yang kembali berlatih menggunakan program latihan Poad.
Difahamkan MA sudah menamakan beberapa calon jurulatih namun badan induk itu perlu mengemukakan justifikasi kepada Majlis Sukan Negara.
sumber:- HM
Atas faktor itu, MA masih belum menamakan jurulatih pecut dan ia bakal memberi impak besar memandangkan tempoh empat bulan pertama tahun ini memerlukan kepakaran jurulatih ketika Sukan Sea hanya berbaki kurang lapan bulan.