Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sifatkan kejayaan pasukan JDT II muncul juara Piala MFL 2024/2025 adalah hasil perancangan yang betul dan tepat oleh pengurusan tertinggi kelab itu.
Katanya, hasil perancangan yang teliti dan sempurna sama ada di dalam mahupun di luar padang, ia akhirnya membuahkan hasil yang konsisten buat skuad Harimau Selatan dengan kekal mendominasi saingan domestik.
Jelasnya, bukan saja skuad utama mempamerkan taring malah rentak sama turut diperagakan oleh pasukan bawahan kelab itu.
“Apabila kepala betul, ekor pun betul,” kata Tunku Ismail di laman sosial Johor Southern Tigers (JST) malam tadi.”Kejayaan berterusan sepanjang 12 tahun di dalam dan luar padang. Kejuaraan dari pasukan senior hingga pasukan-pasukan junior, kejayaan di peringkat antarabangsa dan domestik, infrastruktur, dan pembangunan pemain muda.
“Rekod-rekod dan fakta yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya lagi.
Terdahulu, skuad JDT II mengesahkan kejuaraan Piala MFL selepas menundukkan Penang FC II 7-0 pada aksi terakhir liga di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan JDT II mengumpul mata tertinggi dengan 53 mata manakala pencabar terdekat, Selangor FC di tangga kedua dengan hanya dibezakan satu mata selepas mengutip 52 mata sekali gus bergelar naib juara.
Kejayaan skuad ‘adik’ itu pastinya membakar semangat pasukan senior yang dijadual turun dalam aksi final Piala Malaysia hujung minggu hadapan.
sumber:- HM
Dalam pertembungan itu, JDT akan menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).