sukan

Bergson tiada pilihan di Aksi terakhir

Meskipun sudah mengesahkan kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut lebih awal, aksi terakhir Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super musim ini menentang Kuching City tetap memiliki elemen menarik.

Ia kerana aksi 90 minit di Stadium Negeri, Kuching Rabu ini menjadi detik terakhir musim 2024/25 buat mesin gol Harimau Selatan, Bergson Da Silva memadam rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super yang dipegang Indra Putra Mahayuddin.

Bergson ketika ini sudah meledak 104 gol, hanya dua gol di belakang Indra Putra yang yang mengumpul 106 jaringan untuk berada di kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.

Situasi itu bermakna Bergson perlu sekurang-kurangnya meledak hatrik di gelanggang Kuching City dan sekiranya tidak berjaya dilakukan, penyerang kelahiran Brazil itu perlu menunggu musim depan untuk menaiki takhta penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Walaupun Bergson menjelaskan tidak memikirkan mengenai ‘gelaran’ itu, ia pasti menjadi penamat lebih sempurna buat dirinya dan JDT jika dia mengatasi rekod Indra Putra terutama selepas berjaya memecahkan rekod sendiri sebagai penjaring terbanyak dalam satu musim.

“Saya tidak tahu sama ada ia bakal muncul atau tidak dan apa yang boleh katakan hanya mampu berusaha untuk mencipta jaringan dan secara realiti tugas utama adalah berusaha bagi menjadi pemain yang baik dalam setiap perlawanan,” kata Bergson.

Bergson mencipta rekod baharu penjaring terbanyak dalam satu musim selepas meledak lima gol ketika membantu JDT membesalah Kelantan Darul Naim (KDN) 9-0, Khamis lalu.

Ia membolehkan penyerang berusia 34 tahun itu mengumpul 31 gol bagi saingan Liga Super musim ini, sekali gus mengatasi rekod jaringan terbanyak bagi satu musim yang dilakarnya pada 2022.

Kemenangan ke atas KDN di Stadium Sultan Ibrahim turut menjadi kemenangan terbesar yang direkodkan JDT dalam saingan Liga Super sejak 2013.

sumber:- BH

Rekod kemenangan terbesar Harimau Selatan sebelum ini adalah ketika menewaskan Penang FC 8-0 di gelanggang sama pada musim 2023.