sukan

Aaron-Wooi Yik tidak hanya setakat Asia

Juara Asia yang baharu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyasarkan untuk kembali merangkul gelaran juara dunia yang kali terakhir diraih mereka pada edisi 2022 di Jepun.

Beregu lelaki negara itu yang masih segar dengan gelaran Asia diraih di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China semalam berkata, sasaran utama mereka selepas ini tentunya ke arah Kejohanan Dunia di Paris, Ogos depan.

Dengan ‘sentuhan magis’ ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu, Herry Iman Pierngadi, ia turut menjadi pembakar semangat buat beregu ranking keenam dunia itu kembali yakin menjelmakan pingat emas di Paris nanti.

“Saya fikir, sudah tentu kami sasarkan untuk Kejohanan Dunia tahun ini. Namun seperti saya katakan, kami masih sesuaikan diri dengan gaya permainan jurulatih Herry.

“Untuk itu, kita harus teruskan (usaha) dan lihat apa yang akan berlaku nanti,” kata Aaron ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Semalam, Aaron-Wooi Yik menamatkan kemarau 18 tahun negara untuk merangkul gelaran juara dalam acara beregu lelaki di BAC dengan menewaskan beregu tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi 21-19, 21-17 untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,000 (RM163,715).

Sementara itu, Wooi Yik percaya mereka kini berada di landasan tepat untuk kembali menjadi pencabar utama di setiap kejohanan besar selepas ini.

Menurutnya, BAC 2025 menjadi titik tolak kepada versi baharu Aaron-Wooi Yik yang menunjukkan peningkatan konsisten hasil bimbingan Herry.

“Kami temui sesuatu yang baharu daripada jurulatih Herry di kejohanan ini dan ianya sangat berbeza daripada sebelum ini.

sumber:- BH

“Ini mungkin permulaan kepada kebangkitan kami, dan anda tidak boleh jangka apa kami boleh capai selepas ini kerana kami masih belajar,” kata Wooi Yik.