sukan

Sri Pahang FC hantar amaran buat JDT

Sri Pahang FC (SPFC) terus menghantar amaran menjelang aksi final Piala Malaysia selepas kekal berada dalam keadaan terbaik apabila berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Fandi Ahmad mengekalkan momentum dengan tiga kemenangan berturut-turut sekali gus menghadiahkan tonik terbaik sebelum berdepan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), 26 April ini.

Kedua-dua pasukan memperaga permainan yang seimbang dengan perlawanan tampak ‘hidup’ apabila kedua-dua pasukan berjaya melakukan percubaan berbahaya dengan tandukan pemain SPFC, Sean Selvaraj hinggap di palang pada minit ke-34.

Tuan rumah beroleh dua percubaan berturut-turut namun percubaan Luciano Guaycochea pada minit ke-37 ditepis Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri sebelum percubaan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar tiga minit berselang menggegar tiang.

Penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli memastikan gawangnya tidak bolos pada minit ke-42 apabila berjaya menyelamatkan percubaan Sergio Aguero dan dua minit masa tambahan yang diberikan tidak cukup untuk mengubah kedudukan 0-0 di babak pertama.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan terus bergelut untuk memecah kebuntuan selepas gerakan yang dilancarkan tidak cukup untuk membolosi gawang lawan masing-masing.

Percaturan Fandi memasukkan T Saravanan mencetus impak apabila pemain gantian itu berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-81 yang sekali gus menjadi gol kemenangan SPFC pada aksi terbabit.

Meskipun Perak FC cuba mengasak untuk memburu sekurang-kurangnya gol penyamaan namun pelawat dapat mempertahankan kelebihan tipis itu sehingga wisel penamat dibunyikan.

sumber:- BH

Selepas ini, Perak FC akan terbang ke Likas untuk aksi menentang Sabah FC sementara SPFC akan berdepan Penang FC sebelum beraksi di final Piala Malaysia.