SIAPA sangka, bola sepak juga mampu mempertemukan jodoh yang dirahsiakan Tuhan?
Bola sepak bukan sahaja medan penyatuan bangsa dan agama, malah mampu menghubungkan dua jiwa yang berkongsi minat yang sama terhadap pasukan kegemaran.
Itulah nilai kasih sayang yang dicurahkan apabila sentiasa berada di belakang pasukan bola sepak. Iklan
Farhan Khair Fawazul Khair menceritakan kenangan istimewanya bersama isteri tercinta, Siti Hajar Hamzah, dalam pengembaraan menyokong gergasi Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), tanpa lelah dan sentiasa memupuk semangat positif dalam kalangan peminat.
Dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dianggap sebagai venue terindah yang memiliki atmosfera luar biasa.
Bola sepak serta cinta. Lambang rasmi kasih sayang teragung sebagai tanda keabsahan memeterai dua individu yang sudah mendirikan rumah tangga.
Selami kisah Farhan dan Hajar yang mencuri tumpuan peminat bola sepak negara akan perjalanan penuh bahagia, sekali gus menolak persepsi sukan nombor satu tanah air itu bukan sahaja untuk satu golongan.
Hajar terpegun dengan penampilan Farhan yang ketika itu dianugerahkan peluang bermain bersama legenda dunia di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin.
“Saya dengar nama pemain yang dimasukkan sebagai penggantian.
Saya berkata dalam hati: Kacaknya!“Selepas aksi itu, saya mula mencari nama Farhan Khair ini di media sosial dan saya jumpa profilnya.
“Nak dijadikan cerita, saya mula berkenalan dengannya, namun dia tidak membalas mesej saya,” katanya.
Hampir berputus asa, namun rezeki di depan mata tiba apabila Hajar bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) buat kali pertama sewaktu perasmian pembukaan mercu tanda JDT itu.
“Semasa hendak balik, saya ternampak kelibat Farhan dan tanpa segan saya menegurnya serta bergambar bersama.
“Itu adalah titik pertemuan saya dengan suami,” luahnya.
Tiada ungkapan perasaan yang mampu dinyatakan, sebaliknya Farhan menyambut perkenalan itu sehinggalah ke jinjang pelamin bersama Hajar.
“Malam itu merupakan momen paling istimewa buat saya. Ia adalah perkara yang tidak disangka-sangka.
“Malam itu adalah malam saya bertemu isteri saya yang sekarang. Ia menjadi simbolik kepada kami bahawa jodoh kami bertemu di SSI.
sumber:- SH
“Itu adalah sebahagian daripada mimpi saya. Kami selalu pergi ke stadium bersama sehinggalah kami berdua berkahwin,” kongsi Farhan. – Awani