Pasukan Liga Super khususnya yang bergelut dengan masalah kewangan tampak berdepan dilema sama ada untuk meletakkan fokus kepada survival pasukan utama ataupun pembangunan akar umbi.
Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menjangkakan tidak mustahil ada lagi pasukan bakal mengikut jejak langkah Sri Pahang yang menarik diri daripada bertanding dalam saingan Piala Belia (Bawah 18 Tahun) dan Piala Presiden (Bawah 21 Tahun) bagi musim 2025/26.
Menurutnya, pengurusan pasukan Piala Belia dan Piala Presiden itu dilihat menjadi ‘beban tambahan’ yang terpaksa ditanggung terutamanya kepada pasukan yang ‘cukup-cukup makan’ bagi menguruskan pasukan utama di Liga Super.
“Saya nampak mungkin ada pasukan yang mengambil pendekatan sama dengan Pahang dan kita pun tahu ada pasukan sudah menyuarakan perkara ini sejak sekian lama.
“Mereka dilema antara untuk sediakan pasukan utama di Liga Super tetapi pada masa sama, kena uruskan pasukan Piala Belia dan Piala Presiden juga. Nak uruskan pasukan Liga Super pun terkontang-kanting, tetapi ada lagi pasukan tambahan yang perlu dikendalikan juga.
“Banyak kes pasukan utama turut berdepan tunggakan gaji kepada pemain pasukan Piala Belia dan Piala Presiden. Jadi kasihan kepada pemain kerana sudah terkena janji-janji palsu yang menjejaskan semangat dan motivasi mereka.
“Jangan jadikan perkara ini sebagai mandatori kerana jika tidak, pasukan Piala Belia dan Piala Presiden pun akan jadi sekadar cukup syarat semata-mata,” kata Pekan.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM, Datuk Jamal Nasir Ismail mengesahkan Sri Pahang tidak akan menyertai pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden musim 2025/2026.
Jamal Nasir berkata, keputusan drastik Pahang itu mencetuskan masa depan yang suram buat barisan pemain muda tempatan yang terpaksa mencari pasukan lain bagi meneruskan kerjaya bola sepak mereka.
Justeru, Pekan melihat perlunya ada pemisahan tanggungjawab antara kelab bola sepak (FC) yang mengendalikan pasukan utama dengan persatuan bola sepak negeri (FA) bagi menguruskan pembangunan akar umbi.
“Kita tahu FC memang fokus untuk pasukan utama, jadi FA perlu ambil tanggungjawab untuk uruskan pasukan Piala Belia dan Piala Presiden pula.
“Ini dapat memastikan ekosistem itu terus berlaku di antara FA dan FC kerana mereka berkongsi tujuan yang sama untuk melahirkan pemain berkualiti bukan sahaja untuk pasukan tetapi negara juga.
sumber:- BH
“Jika ini terus berlaku (pasukan tarik diri daripada Piala Belia dan Piala Presiden), ini akan merosakkan bola sepak kita juga,” katanya.