PDRM FC berjaya bangkit daripada kekalahan minggu lalu apabila menjadikan Terengganu FC (TFC) sebagai ‘mangsa’ dengan kemenangan 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Sang Saka Biru meraih kemenangan ketujuh dalam liga musim ini selain menghadiahkan kekalahan ketujuh buat skuad ‘Penyu’ setakat ini.
Pada aksi itu, pelawat jelas lebih bernafsu untuk memburu gol pertama apabila berjaya melancarkan dua percubaan hanya dalam tempoh lima minit pertama sebagai amaran awal menerusi percubaan Akhyar Rashid disusuli rembatan Safawi Rasid.
TFC terus menekan PDRM FC dengan terus melancarkan beberapa percubaan namun belum cukup untuk membolosi gawang yang dikawal Nor Hakem Hamidun dengan penjaga gol itu menyelamatkan dua percubaan berturut-turut TFC pada minit ke-25.
Peluang terbaik PDRM FC hadir pada minit ke-32 bermula daripada sepakan percuma, sayangnya tandukan Bruno Suzuki singgah tepat ke dakapan Rahadiazli Rahalim.
Safawi hampir memberikan gol pertama buat TFC di penghujung babak pertama namun percubaannya berjaya ditutup Mohamad Imran Samso untuk keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama apabila mendahului tiga minit selepas rehat menerusi Mohamad Imran yang meledak gol pertamanya pada musim ini.
TFC dapat menarik nafas lega selepas jaringan Suzuki pada minit ke-59 dibatalkan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan ofsaid sekali gus memastikan mereka tidak terus ketinggalan jauh pada perlawanan itu.
Lapan minit masa tambahan babak kedua yang diberikan tidak cukup untuk TFC menewaskan Nor Hakem yang cemerlang menafikan percubaan mereka mendapatkan gol penyamaan sekali gus terpaksa akur tewas tipis 0-1.
sumber:- BH
Selepas ini, PDRM FC akan berdepan pasukan Lembah Klang, Selangor FC di tempat lawan sementara TFC menutup kempen musim ini menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat sendiri.