sukan

Terdiam penyokong China

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ‘mendiamkan’ penyokong tuan rumah menerusi kemenangan bergaya ke atas pilihan kedua, Liang Wei Keng-Wang Chang untuk mara ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, sebentar tadi.

Beraksi di Pusat Sukan Olimpik Ningbo yang dipenuhi penyokong China, pasangan nombor enam dunia itu tidak gentar, sebaliknya tampil penuh keyakinan dan menguasai perlawanan sejak awal permainan untuk melakar kemenangan 21-12, 21-14 dalam tempoh 31 minit.

Kemenangan itu membolehkan Aaron-Wooi Yik melunaskan dendam atas kekalahan dalam dua pertemuan terakhir sebelum ini di tangan lawan sama ketika di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai tahun lalu.

Bekas juara dunia itu kali ini lebih bersedia dari segi mental dan taktikal, mempamerkan permainan agresif dan konsisten yang menyukarkan lawan mereka mendapatkan rentak selain dibantu magis ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.

Kejayaan ini juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengulangi pencapaian edisi 2022 apabila turut mara mara ke pentas final sebelum terpaksa akur sebagai naib juara selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan.

sumber:- BH

Di final esok, mereka bakal menentang pemenang satu lagi aksi separuh akhir yang menemukan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi dan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dalam misi memburu gelaran sulung di pentas Asia.