Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berazam menebus kekecewaan di Kejohanan Badminton Asia (BAC) dengan persembahan lebih bertenaga pada penampilan sulung di Piala Sudirman hujung bulan ini.
Pasangan pilihan utama itu terkandas di suku akhir selepas tewas 21-16, 18-21, 22-20 kepada beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi di Ningbo, China, semalam.
Kekalahan itu menyaksikan mereka gagal mengulangi pencapaian muncul naib juara pada edisi tahun lalu yang turut berlangsung di Ningbo.
Bagaimanapun, ia tidak melunturkan semangat Sze Fei-Izzuddin sebaliknya lebih membara untuk membantu pasukan negara menjelang Piala Sudirman yang akan berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.
“Ini kali pertama kami beraksi di Piala Sudirman. Kami harap dapat berikan persembahan terbaik jika diberi peluang,” kata Sze Fei dalam temu bual bersama CGTN sejurus tamat perlawanan semalam.
Malaysia diundi bersama Jepun, Perancis dan Thailand dalam Kumpulan D, dan Sze Fei-Izzuddin mahu menyumbang kemenangan penting buat negara dalam kejohanan berpasukan campuran itu.
Sementara itu, Izzuddin pula menegaskan mereka masih ada ruang untuk perbaiki prestasi dan mahu bangkit lebih kuat di Xiamen.
sumber:- BH
“Kami percaya boleh melakukan yang lebih baik lagi. Masih ada beberapa perkara dalam permainan kami yang perlu diperbaiki,” katanya.