Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag tidak menyalahkan anak buahnya selepas menjadi mangsa amukan Sri Pahang FC apabila dibelasah 0-6 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.
Beliau berkata, ini kerana anak buahnya sudah memberikan segalanya terutama memberikan tentangan kepada asakan tuan rumah tetapi gagal untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi.
“Bagi saya, jika pemain berjaya memanfaatkan beberapa peluang terutama pada babak pertama melakukan jaringan, ceritanya pasti berbeza tetapi kesilapan menyebabkan enam gol dibolosi.
“Saya juga tidak boleh salahkan pemain kerana mereka sudah memberikan yang terbaik dan turun berlatih biarpun berdepan dengan masalah luar padang.
“Hanya kita yang tahu apa yang sebenarnya berlaku dan saya tidak salahkan mereka,” katanya.
Dengan berbaki dua perlawanan lagi berdepan Sabah FC dan Terengganu FC (TFC), beliau tidak pasti apa yang berlaku selepas ini.”Dalam situasi ini saya harap kita dapat mengharungi baki dua perlawanan ini,” katanya.
sumber:- BH
Pada perlawanan itu, enam gol masing-masing dijaringkan Sergio Aguero pada minit ke-37 dan 66, diikuti Aleksandar Cvetkovic (m45), T Saravanan (m59), Stefano Brundo (m83) manakala jaringan sendiri pemain KDA, Muhammad Suhaimi (m76).