sukan

Komen Fandi Ahmad selepas belasah Kedah

Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menyembunyikan perasaan gembira selepas skuad itu mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kemenangan itu membuktikan komitmen dan kesungguhan anak buahnya mempamerkan prestasi terbaik terutama persediaan menghadapi final Piala Malaysia, 26 April depan.

“Alhamdulillah, saya gembira dengan kemenangan ini terutama jaringan besar yang dilakukan kerana pada perlawanan sebelum ini gagal berbuat demikian.

“Namun, pada awal perlawanan kita tidak beraksi pada tahap terbaik dan banyak kesilapan yang dilakukan sebelum menjaringkan dua gol pada babak pertama.

“Memasuki babak kedua, persembahan dan keyakinan pemain lebih baik dan pemain berjaya mendominasi permainan hingga menambah lagi empat gol,” katanya.

Pada perlawanan itu, enam gol masing-masing dijaringkan Sergio Aguero pada minit ke-37 dan 66, diikuti Aleksandar Cvetkovic (m45), T Saravanan (m59), Stefano Brundo (m83) manakala jaringan sendiri pemain KDA, Muhammad Suhaimi (m76).

Fandi berkata, sepatutnya ada perubahan terutama pertukaran pemain di bahagian serangan tetapi disebabkan kecederaan yang dialami di bahagian pertahanan dan tengah, perubahan taktikal dilakukan.

Katanya, pada awalnya beliau ingin memasukkan Baqiuddin Samsuddin dan Sean Selvaraj unuk menambah ketajaman di bahagian serangan tetapi tidak berbuat demikian kerana lebih mengutamakan kepada pertahanan.

“Bagaimanapun, saya gembira dengan keputusan ini dan ia juga persediaan untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di final Piala Malaysia nanti.

sumber:- BH

“Sebenarnya saingan Liga Super juga penting untuk memperbaiki kedudukan dalam liga tetapi matlamat utama Piala Malaysia kerana kita sudah lama tidak beraksi di pentas final,” katanya.