sukan

TERKINI : Sri Pahang mengamuk baham Kedah

Sri Pahang FC mencatat kemenangan besar selepas membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.

Kemenangan skuad Tok Gajah itu sememangnya dinantikan pengendalinya, Fandi Ahmad sebagai persediaan menghadapi final Piala Malaysia 26 April ini.

Pada perlawanan itu, tuan rumah memulakan persembahan menyakinkan apabila menjaringkan gol pendahuluan menerusi David Rowley tetapi gol itu tidak disahkan kerana berada pada kedudukan ofsaid pada minit ke-13.

Selang tiga minit, T Saravanan turut memiliki peluang sama untuk membolosi gawang lawan tetapi bola rambatannya melepasi palang.

Gol pendahuluan dinantikan skuad Tok Gajah akhirnya muncul hasil sentuhan pemain naturalisasi, Sergio Aguero selepas menewaskan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-37.

Pada masa tambahan babak pertama, pemain pertahanan import tuan rumah, Aleksandar Cvetkovic menjaringkan gol kedua buat Sri Pahang untuk mendahului 2-0.

Bersambung babak kedua, Saravanan menjaringkan gol ketiga buat Sri Pahang pada minit ke-59 dan disusuli Aguero pada minit ke-66 untuk mendahului lawan 4-0.

Pada minit ke-76, pertahanan KDA, Muhammad Suhaimi menjaringkan gol sendiri ketika cuba menghalang hantaran silang Mykola Ahapov untuk meletakkan Sri Pahang mendahului 5-0.

sumber:- BH

Pemain pertahanan import Tok Gajah, Stefano Brundo menambah derita KDA apabila menjaringkan gol keenam pada minit ke-83 buat Sri Pahang sekali gus memastikan kemenangan bergaya skuad itu musim 2024/2025.