sukan

Skuad Indonesia beri ‘tamparan’ hebat buat Malaysia

Satu tamparan hebat seharusnya dirasai oleh segenap pemegang taruh bola sepak negara susulan kejayaan skuad bola sepak bawah 17 (B-17) tahun Indonesia layak ke Piala Dunia B-17, semalam.

Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang dilancarkan 11 tahun lalu dengan berobjektif untuk layak ke Piala Dunia B-17 hanyalah impian kosong yang tiada kesudahan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar akui berbangga dengan kejayaan negara jiran yang layak beraksi di Piala Dunia B-17 di mana ia membuktikan sistem pembangunan di negara itu berada di landasan tepat.

Begitupun, senario itu jauh berbeza di Malaysia dan beliau akui jauh di sudut hatinya cukup kecewa dengan kegagalan demi kegagalan ‘ubi muda negara’ untuk layak ke peringkat tertinggi dunia itu.

Katanya, kegagalan pembangunan negara seharusnya dirasai semua pihak termasuk NFDP dan paling utama adalah badan induk bola sepak negara iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Persatuan Bolasepak Negeri dan kelab-kelab.

“Kita tak boleh salahkan satu pihak sahaja (NFDP) semata-mata. Semua pihak bertanggungjawab di atas kegagalan kita ini. Saya sejujurnya memang kecewa, tapi inilah harga yang perlu dibayar.

“Kita di sini kerap sangat bertukar-tukar resepi, misalnya kita nak masak tetapi tukang masaknya selalu bertukar tangan akhirnya lauk itu tak siap.

“Di Indonesia, mereka konsisten. Tak banyak campur tangan tetapi ia berbeza di negara kita. Mereka membentuk skuad pembangunan mereka secara konsisten.

“Badan bola sepak di negara mereka (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia-PSSI) ambil tanggungjawab membentuk skuad muda dengan kerap menghantar dan berlatih di luar negara secara konsisten.

“Kita di sini ada NFDP di mana dulu kerap menghantar pasukan dapatkan pendedahan di luar negara tetapi saya difahamkan sekarang masih hantar cuma tidak sekerap dulu.

“Kita kena sabar dan ia perlukan masa yang lama untuk buahkan hasil. Tapi kita tidak konsisten dan inilah sebabnya kita masih gagal layak,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, pasukan Indonesia B-17 layak secara merit ke Piala Dunia B-17 selepas layak ke suku akhir saingan Piala Asia B-17 di Arab Saudi ketika ini.

Indonesia menggunakan sebaiknya perubahan format apabila lapan pasukan yang layak ke suku akhir diberi tiket ke Piala Dunia B-17 berbanding sebelum ini di mana hanya empat pasukan diberikan slot itu.

sumber:- HM

“Dulu masa kita lancarkan NFDP, kita dah nampak dan tahu perubahan format yang akan berlaku. Kalau kita dulu kekal konsisten, mungkin kita dah layak tetapi itulah apabila banyak sangat yang diubah akhirnya kita ditakuk sama,” tambah Safirul lagi.