Bekas pemain tengah Arsenal, Mathieu Flamini secara diam-diam menjadi bekas pemain bola sepak terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai berbilion pound yang menjadikan kekayaan Cristiano Ronaldo kelihatan sederhana jika dibandingkan.
Terkenal dengan persembahan gigih di bawah kendalian Arsene Wenger, bekas pemain berusia 41 tahun itu yang kini menguruskan sebuah syarikat biokimia dilaporkan bernilai hampir £20 bilion (kira-kira RM114 bilion), dianggarkan 40 kali ganda lebih besar daripada nilai kekayaan Ronaldo yang berusia 40 tahun.
Namun, Flamini menegaskan bahawa kunci kepada kejayaannya yang luar biasa dari padang bola ke bilik mesyuarat terletak pada tiga perkara iaitu semangat, dedikasi dan daya tahan.
Bercakap kepada The Times, Flamini menjelaskan: “Ketika saya berusia lima tahun, saya katakan mahu menjadi pemain bola sepak, orang kata, betulkan kepala anda. Ia mustahil.
“Ia berkisar mengenai semangat dan dedikasi. Ia adalah ketahanan, tidak kira sama ada anda seorang pemain bola sepak yang beraksi di hadapan berjuta-juta orang atau seorang usahawan atau CEO syarikat multinasional yang memimpin 1,000 orang.
“Anda perlu mengendalikan tekanan, mampu memberi inspirasi dan bekerja sebagai satu pasukan.”Flamini pernah beraksi bersama Arsenal, AC Milan, Crystal Palace, dan Getafe, namun pada tahun 2008 ketika masih berada di puncak prestasi, dia mengasaskan GFBiochemicals iaitu sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada penciptaan alternatif mampan kepada produk berasaskan fosil.
Kini, selepas bertahun-tahun mengusahakan perniagaan itu secara senyap, Flamini menjadi suara utama dalam inovasi iklim dan tanggungjawab alam sekitar serta salah seorang atlet terkaya di dunia.
“Ketika di sekolah, saya benci bercakap dalam bahasa Inggeris. Saya akan bersembunyi apabila diminta bercakap dalam bahasa itu.
sumber:- BH
“Sekarang, mungkin 90 peratus masa saya bercakap dalam bahasa Inggeris. Saya juga amat lemah dalam subjek kimia dan sekarang saya menguruskan sebuah syarikat biokimia. Saya suka cabaran,” katanya. – AGENSI