sukan

Arif Aiman di laluan terbaik untuk pertahan trofi

Bintang sensasi negara, Arif Aiman Hanapi tampaknya terus berada pada laluan terbaik untuk mempertahankan trofi Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) buat kali keempat berturut-turut.

Ini selepas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ‘lolos’ daripada senarai pendek 10 pemain apabila menjadi seorang daripada tiga calon bagi kategori Pemain Tengah Terbaik ABK 2024/25 yang dijangka berlangsung, bulan ini.

Pemain skuad Harimau Malaya itu akan berdepan cabaran dua lagi rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan iaitu Safawi Rasid (Terengganu FC) dan Stuart Wilkin (Sabah FC).

Dengan prestasi yang ditunjukkan pemain itu dalam kancah domestik dan antarabangsa, Arif Aiman dijangka memenangi kategori ini selain turut mengekalkan gelaran MVP yang mula dimenangi olehnya sejak edisi ABK21 seawal usia 19 tahun.

Pada edisi lalu, Arif Aiman turut mendominasi empat lagi anugerah lain iaitu Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 serta berkongsi Anugerah Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super bersama penyerang Selangor FC (SFC), Faisal Abdul Halim.

Selain kategori Pemain Tengah Terbaik, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut menyenaraikan calon tiga terbaik bagi kategori lain iaitu Pemain Import Terbaik, Penyerang Terbaik, Pertahanan Terbaik, Penjaga Gol Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik dan juga Pemain Piala MFL Terbaik.

Pemenang bagi Anugerah Pemain Import Terbaik pada ABK edisi lalu, Bergson da Silva turut tersenarai sebagai tiga calon terbaik bersama rakan sepasukan, Juan Muniz dan pemain import SFC, Alvin Fortes.

Penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi pula berdepan tentangan Haziq Nadzli (Perak FC) dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (SFC) dalam misi mempertahankan gelaran Penjaga Gol Terbaik.

Tiga calon bagi kategori Penyerang Terbaik pula adalah penyerang kebangsaan iaitu Darren Lok (Sabah FC), Paulo Josue (KL City FC) serta Romel Morales (JDT).

sumber:- BH

Feroz Baharudin (JDT), Harith Haiqal (SFC) dan Dominic Tan (Sabah FC) pula tersenarai bagi kategori Pertahanan Terbaik manakala kategori Jurulatih Terbaik menampilkan Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC), Hector Bidoglio (JDT) serta Katsuhito Kinoshi (SFC).