sukan

Tak salah lagi, Kasut Emas bakal milik Salah

Mohamed Salah semakin hampir mencipta satu lagi rekod di Liverpool selepas Pep Guardiola mengesahkan Erling Haaland mungkin terlepas baki musim Liga Perdana Inggeris (EPL).

Salah menunjukkan prestasi luar biasa musim ini, dengan mencetak 32 gol dan mencipta 22 bantuan jaringan dalam 43 perlawanan di semua pertandingan.

27 gol daripadanya datang dalam liga, meletakkannya di kedudukan teratas untuk memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Perdana.Pesaing utama untuk anugerah itu, Haaland, ketinggalan enam gol tetapi harapannya untuk mengejar Salah kini kelihatan musnah.

Pemain Norway itu terpaksa keluar ketika Manchester City menewaskan Bournemouth dalam aksi Piala FA hujung minggu lalu, dengan Guardiola kini mengesahkan penyerang utamanya mungkin terlepas baki musim liga.

“Mereka memberitahu saya mungkin antara lima hingga tujuh minggu. Jadi diharapkan dia boleh kembali pada akhir musim dan menjelang Piala Dunia Kelab dia akan bersedia,” kata Guardiola hari ini.

“Kadang-kadang ada masanya perkara seperti ini berlaku dan berlaku sepanjang musim ini. Saya katakan ia boleh jadi berbeza jika ini adalah penghujung musim [sebelum Piala Dunia Kelab].

“Jadi dengan semua kecederaa kami alami musim ini, saya sangat kesal untuk mereka dan untuk Erling juga. Jadi saya mengharapkan pemulihan yang baik, secepat mungkin, kemudian kembali.”

Dengan Haaland boleh melupakan persaingan untuk Kasut Emas, Salah nampaknya sudah menggenggam anugerah itu.

Pesaing terdekatnya adalah Alexander Isak dari Newcastle dengan 19 gol, manakala Chris Wood dari Nottingham Forest mempunyai 18 gol.

Walaupun hanya sembilan perlawanan liga yang tinggal, kelihatan tidak mungkin ada sesiapa yang dapat mengejar Salah, bermakna dia akan meraih Kasut Emas keempatnya, menjadikannya pemain pertama Liverpool yang mencapai pencapaian itu.

Michael Owen satu-satunya pemain Reds yang pernah memenanginya beberapa kali, iaitu pada 1998 dan 1999.

sumber: HM

Malah, Salah akan menjadi pemain kedua dalam sejarah mana-mana kelab memenangi anugerah itu empat kali. Pemain lain yang pernah melakukannya ialah Thierry Henry, yang memenanginya pada 2002, 2004, 2005, dan 2006 di Arsenal.