sukan

Wajib sebelum jumpa Vietnam

Skuad Harimau Malaya dianggap memerlukan perlawanan ujian atau persahabatan terbaik sebagai persediaan menghadapi aksi getir berdepan Vietnam dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027, 10 Jun depan.

Vietnam yang berada di ranking 114 dunia dianggap sebagai pencabar utama Harimau Malaya dalam Kumpulan F dengan hanya juara kumpulan yang akan meraih tiket ke pusingan akhir kejohanan itu di Arab Saudi.

Hanya satu aksi kelayakan akan berlangsung pada Jun depan dan Harimau Malaya dicadang mengadakan perlawanan persahabatan bagi menguji kekuatan anak buah Peter Cklamovski sebelum menentang Vietnam.

Sebelum ini, Harimau Malaya juga tiada aksi ujian sebelum menentang Nepal dalam aksi pertama Kumpulan F, 25 Mac lalu yang mana ia juga menjadi perlawanan sulung di bawah kendalian Cklamovski.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari pasukan lawan yang kuat untuk aksi ujian itu bagi membantu Harimau Malaya lebih bersedia menghadapi skuad Naga Emas.

Beliau berkata, saingan Liga Malaysia (Liga M) juga akan berakhir bulan ini, bermakna pemain tidak terdedah kepada mana-mana aksi selepas itu dan ia boleh merencatkan prestasi pemain sekiranya tiada perancangan yang baik dapat dilakukan.

“Bagi tempoh dua bulan akan datang, pasukan perlu mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan yang sekurang-kurangnya setaraf Vietnam atau yang mempunyai ranking di bawah 100 dunia.

“Perlawanan itu dapat memantapkan keserasian antara pemain, khususnya di bawah kendalian pengurusan baharu Harimau Malaya. Jangan fikir lagi soal ‘sparring partner’ dan main tangkap muat asalkan ada pasukan demi menjaga ranking.

“Justeru, saya amat berharap Harimau Malaya benar-benar dipersiapkan lebih mantap sebelum turun menentang Vietnam nanti,” katanya.

sumber:- BH

Vietnam dan Malaysia ketika ini berkongsi tiga mata, namun skuad Naga Emas berada di kedudukan teratas Kumpulan F kerana memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan berbanding Harimau Malaya.