sukan

Komen Legenda Liverpool selepas sah sertai JDT

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia berterima kasih kepada Pemilik Harimau Selatan, Tunku Mahkota Ismail yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjawat jawatan penting tersebut.

Garcia yang juga bekas pemain Liverpool berkata, misinya adalah untuk membawa juara 11 kali Liga Super berturut-turut itu ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau yang memulakan tugas secara rasmi pada Isnin turut menyatakan keterujaannya dan kesediaan untuk menghadapi cabaran baharu bersama JDT.

“1 April, saya teruja untuk memulakan secara rasmi perjalanan saya sebagai CEO JDT. Saya berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia atas kepercayaan dan peluang yang diberikan.

“Saya bersedia menghadapi cabaran baharu ini dan membawa kelab ke tahap yang lebih tinggi. Kerja bermula sekarang,” katanya dalam hantaran di laman Instagram miliknya.

Sebelum ini, JDT mengumumkan Garcia sebagai CEO baharu JDT pada 21 Mac lalu sebagai salah satu penstrukturan bagi mengukuhkan dan memaksimumkan kepakaran pengurusan kelab.

Beliau menggantikan Alistair Edwards yang diberikan peranan baharu iaitu Pengarah Teknikal kelab dan Ketua Pegawai Operasi (COO) JDT.

sumber:- SH

Garcia merupakan bekas pemain Barcelona, Liverpool dan Atletico Madrid selain pemegang Lesen Pro UEFA dan Sarjana Eksekutif UEFA untuk Pemain Antarabangsa selain peranannya selaku duta untuk FIFA, UEFA dan LaLiga.