sukan

Harap boleh gunakan ‘kabel’

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan perancangan lebih teliti dan jangan mengambil sikap acuh tak acuh terhadap perlawanan persahabatan pada Jun nanti sebelum bertemu Vietnam dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, FAM perlu mencari pasukan lawan yang lebih kuat agar ia menjadi aksi kompetitif kerana itu akan membantu Harimau Malaya lebih bersedia untuk memburu kemenangan kedua.

Katanya, ketika itu juga saingan Liga Malaysia (Liga M) sudah tamat serta kebanyakan pemain tidak akan terdedah kepada mana-mana aksi lagi, dan itu pasti akan merencatkan momentum pasukan sekiranya tiada perancangan yang baik untuk skuad bimbingan Peter Cklamovski.

“Malulah kita kalau dalam tempoh dua bulan akan datang kita masih gagal mengadakan beberapa aksi persahabatan dengan pasukan yang sekurang-kurangnya lebih hebat daripada Vietnam atau dengan pasukan yang mempunyai ranking di bawah 100 dunia.

Selain itu, beliau juga berharap pihak pengurusan boleh menggunakan ‘kabel’ untuk mengatur aksi persahabatan yang lebih formal.

“Menang aksi persahabatan tapi nanti bila jumpa Vietnam, kita jadi huru-hara dan kecundang, buat apa? Jadi, apa gunanya kehebatan ‘kenalan’ yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin bola sepak hebat tapi tidak boleh melakukan perkara ini?

“Takkanlah permintaan mereka (pemimpin hebat) untuk mengadakan pemanas badan pun tidak dilayan? Lebih baik jadi pemimpin kecil sahaja.”

“Justeru, saya amat-amat berharap Harimau Malaya benar-benar dipersiapkan lebih mampan sebelum turun menentang Vietnam nanti,” katanya.

sumber:- HM

Malaysia akan bertemu Vietnam pada 10 Jun nanti dan memerlukan kemenangan kedua untuk mengukuhkan kedudukan selepas kedua-dua pasukan mencatat kemenangan pada perlawanan pertama.