sukan

“Kita dapat pemain yang mahu beraksi pun kira sudah bersyukur “

Ketua jurulatih interim Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag enggan meletakkan kekalahan besar 1-6 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di bahu pemainnnya.

Pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam semalam, KDA hanya mampu menjaringkan satu gol melalui pemain muda, Afeeq Iqmal sementara enam gol JDT dihasilkan oleh Bergson Da Silva yang meledak hatrik diikuti masing-masing satu gol menerusi Romel Morales, Jordi Amat dan Nazmi Faiz Mansor.

Bekas pemain KDA itu berkata, pemainnya sudah memberikan usaha terbaik mereka sepertimana dirancangkann terutama barisan pemain muda yang masih sanggup hadir beraksi meskipun pasukan masih dihimpit masalah kekurangan pemain dan isu tunggakan gaji.

Selain itu, berbezaan kualiti dan pengalaman dilihat cukup ketara di mana skuadnya dibarisi ramai pemain tempatan dan muda.”Semua tahu, kita tak boleh lari dari kenyataan. Kita boleh lihat apa yang berlaku dan tahap kekuatan yang kami ada berbanding JDT. Ini membezakan kedua-dua pasukan begitu jauh dengan tahap JDT yang sudah beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.

“Jadi saya rasa tak perlu lagi saya ulas dan huraikan dengan lebih lanjut mengenai perkara ini kerana apa yang kami rancangkan sudah mereka (pemain) lakukan, namun apakan daya kerana kami tetap dibolosi di bahagian pertahanan.

“Kita dapat pemain yang mahu beraksi pun kira sudah dikira bersyukur, cuma gol-gol yang dibolosi itu mungkin kami boleh buat lebih baik dari itu. Pemain sudah cuba yang terbaik dan apapun saya perlu hadapi semua ini kerana ini tanggungjawab saya,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Meskipun tewas dengan dibolosi enam gol, Victor tetap memuji kesungguhan pemain mudanya hingga dapat menghasilkan satu gol melalui sentuhan Afeeq Iqmal yang mencuri tumpuan pada perlawanan ini.

“Satu gol yang dihasilkan oleh pemain muda pada aksi ini bukanlah suatu yang mudah buat kami terutama apabila menetang JDT. Namun ianya dibuktikan termasuk juga beberapa peluang yang tak dapat disempurnakan dan itulah juga yang membezakan pengalaman dan kekuatan sesebuah pasukan.

“Mungkin mereka (pemain muda) merasakan ini adalah satu peluang untuk mereka membina masa depan mereka berbanding pemain lain yang sudah ada nama sebelum ini.

sumber:- BH

“Pada saya, pemain muda memilki karektor untuk beraksi. Bila diberi peluang kepada mereka, kita boleh nampak usaha serta kesungguhan yang mahu mereka tunjukkan,” katanya.