sukan

FAM ‘berdrama’ lagi

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ada hak sekiranya mahu melantik bekas presidennya, Tan Sri Hamidin Mohd Amin selaku Presiden Kehormat namun apa keperluan untuk badan induk itu memperkenalkan jawatan terbabit?

Persoalan itu ditimbulkan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli susulan timbul ura-ura yang menyatakan Hamidin akan kembali ke Wisma FAM meskipun tidak mempertahankan jawatannya selaku presiden pada Kongres Pemilihan FAM, bulan lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan itu, Pekan melihat situasi ini seolah satu ‘drama’ dan juga seperti ‘janji proksi’ meskipun pengalaman dimiliki Hamidin dalam arena bola sepak tidak dapat dinafikan sama sekali.

Namun, Pekan menjelaskan ini bukanlah satu perkara yang asing memandangkan mantan presiden sebelum ini, Sultan Ahmad Shah pernah dilantik selaku Presiden Kehormat Seumur Hidup FAM.

“Itu (jawatan Presiden Kehormat) adalah hak FAM tetapi adakah jawatan itu penting sangat untuk diperkenalkan? Bagi saya, ada (jawatan) pun tidak mengapa, tiada pun tidak mengapa tetapi apa yang penting, kita kena tahu kenapa jawatan itu perlu ada jika FAM betul-betul nak buat.

“Saya jangka kalau perkara ini berlaku, ia akan mengundang lebih banyak persepsi negatif daripada penyokong. Lantikan ini nanti pasti akan mencetuskan kecaman bertalu-talu daripada peminat bola sepak ke arah Hamidin.

“Tidak cukup lagilah pengiktirafan yang sudah diberikan? Hamidin pun masih ada tugasan bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kita pun tidak mahu lantikan ini seolah-olah mahu memberikan semula kuasa ataupun meneruskan kuasa daripada ‘pintu belakang’ ataupun ‘bilik sebelah’. Tidak salah untuk melantik Presiden Kehormat tetapi saya rasa kita perlu lihat keperluannya.

“FAM pun sudah ada presiden, jadi biarlah individu terbabit jalankan tugasnya kerana kita mahukan FAM yang berwajah baharu dengan satu kesedaran baharu yang mengubah imej badan induk itu,” kata Pekan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan Noor Azman mengesahkan belum ada perbincangan untuk mewujudkan jawatan Presiden Kehormat dalam badan induk itu di sebalik ada agenda untuk membawa kembali Hamidin dalam kepimpinan badan induk itu kelak.

Namun, berdasarkan kepada mesyuarat EXCO FAM sebelum ini, perkara itu tidak dibincangkan sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada Hamidin akan membuat kemunculan kembali atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Noor Azman mengakui badan induk itu akan menerima banyak manfaat jika Hamidin terus bersama barisan kepemimpinan baharu FAM susulan timbul ura-ura mengenai pengenalan jawatan Presiden Kehormat FAM selepas ini.

sumber:- BH

Noor Azman tidak menafikan betapa Hamidin sememangnya memiliki pengalaman luas apatah lagi beliau ketika ini masih memegang jawatan sebagai Ahli Majlis FIFA selain kedudukan di AFC.