sukan

Jika dia nak pergi, silakan — TMJ

Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim percaya bintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi akan terus kekal bersama skuad Harimau Selatan biarpun dikaitkan dengan beberapa kelab di luar negara.

Jelas Tunku Ismail yang juga pemilik JDT, beliau yakin Arif Aiman cukup gembira bersama kelabnya di mana pemain sayap itu dapat menjuarai pelbagai trofi disamping beraksi di tahap tertinggi di saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

“Ia terpulang (jika mahu keluar) kepada Arif Aiman, bukan kami. Jika dia nak pergi, silakan. Jika mahu kekal boleh kekal. Tetapi saya tidak pernah memaksa. Saya rasa dia gembira di sini (JDT).

“Ia bukan sekadar peluang untuk menang kejuaraan, tetapi ia mengenai bermain di pertandingan tertinggi di pentas Asia iaitu ACLE,” katanya ketika menjawab soalan dalam sesi bersama penyokong JDT, baru-baru ini.

Terdahulu, nama ‘wonder kid’ JDT itu cukup hangat di benua Asia apabila dikaitkan dengan beberapa kelab yang dilaporkan berminat memancingnya termasuk Jeonbuk Hyundai dari Korea Selatan dan dua kelab Iran babitkan Persepolis serta Tractor FC.

Keterujaan kelab berkenaan untuk mendapatkan Arif Aiman selepas ‘terpesona’ dengan persembahan lincah pemain sayap itu bersama JDT dalam saingan ACLE musim ini.

Ujar Tunku Ismail lagi, beliau menasihatkan Arif Aiman agar tidak membuat keputusan terburu-buru seperti mana kesilapan dilakukan Safawi Rasid yang memilih beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC pada 2020 lalu.

“Jika awak pergi ke pasukan lain, sekadar pasukan biasa di luar negara, awak tetap tak boleh bermain di ACLE. Jadi bagi saya kekal di sini adalah satu keputusan bijak untuk dia.

“Saya berpendapat sebagai seorang pemain, semua ini bergantung kepada kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Safawi keluar kerana penyokong meminta dia pergi, dia mahu menjadi popular dan memenangi hati mereka.

“Tetapi dia tidak sedar dia telah termakan umpan dan karier dia menjadi begitu. Sekarang dia di Terengganu, saya harap dia akan dapat semula rentak dia. Pintu JDT sentiasa terbuka untuk dia, membuat keputusan bijak adalah kritikal di dalam bola sepak,” katanya.

sumber:- HM

Perpindahan Safawi ke Portimonense SC hanya bertahan selama tiga bulan sebelum dia kembali ke JDT ekoran kesukaran menyesuaikan diri selain tidak mendapat tempat dalam pasukan itu.