sukan

Tunku Mahkota Ismail terperanjat di tangga ketiga

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan saingan peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di tangga ketiga jelas sebenarnya membuatkan pemilik pasukan itu, Tunku Mahkota Ismail terperanjat.

Tunku Mahkota Ismail mengakui pencapaian mara sehingga ke pusingan 16 terbaik ACLE sebagai satu pencapaian yang membanggakan apatah lagi untuk pasukan kecil daripada Asia Tenggara (ASEAN).

Malah, skuad Harimau Selatan juga memperaga prestasi lebih baik berbanding beberapa gergasi bola sepak Asia lain yang ‘tersungkur’ seawal peringkat kumpulan.

“Saya rasa pada tahun ini, kita mendapat tempat ketiga dalam 12 pasukan, pencapaian itu sebenarnya tiada dalam perancangan jadi saya pun aamt terkejut dengan pencapaian itu.

“Kita lihat beberapa pasukan yang tidak layak ke pusingan 16 terbaik adalah pasukan gergasi Asia yang ada bajet lebih, dua kali ganda daripada kami.

“Contohnya Pohang Steelers yang menjadi juara Asia lima tahun lalu, Ulsan HD adalah juara Korea Selatan pada tahun ini dan pasukan dari Australia (Central Coast Mariners) pun tidak layak ke pusingan 16 terbaik,” kata Tunku Mahkota Ismail pada sesi soal jawab bersama penyokong yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Johor Southern Tigers, sebentar tadi.

Justeru, Tunku Mahkota Ismail menegaskan sasaran JDT untuk saingan ACLE akan tetap kekal sama seperti sebelum ini iaitu memburu slot ke pusingan suku akhir.

“ACLE ini adalah satu kejohanan yang baharu jadi sejak daripada awal lagi di Liga Juara-Juara Asia (ACL), cita-cita saya adalah masuk ke suku akhir dan ini adalah sasaran yang realistik.

“Saya tidak suka berangan tinggi kerana saya suka menilai berdasarkan kemampuan dan fakta. Jikalau dapat lebih, itu satu bonus untuk kami kerana sasaran kita sentiasa suku akhir dalam ACLE.

sumber:- BH

“Saya tahu di mana kedudukan kami, liga kami, kedudukan JDT dan juga kedudukan serta status kewangan kelab jadi sebab itulah saya sasaran tidak lebih suku akhir,” katanya.