sukan

Peluang Arsenal terjejas lagi gara-gara Manchester United

Pemain tengah Arsenal, Declan Rice meledak pada babak kedua untuk memadamkan sepakan percuma Bruno Fernandes tetapi anak buah Mikel Arteta hanya mampu seri 1-1 dengan Manchester United awal pagi tadi dalam satu lagi tamparan terhadap peluang mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pasukan tangga kedua Arsenal, yang gagal menang tiga aksi EPL terakhir mereka, mengumpul 55 mata dan ketinggalan di belakang pendahulu Liverpool dengan 15 mata sekalipun bermain kurang satu perlawanan.

Manchester United, dengan satu kemenangan dalam lima aksi terakhir dan hanya tiga kemenangan dalam 12 terakhir, di tangga ke-14 dengan 34 mata.

Babak pertama jauh daripada persembahan klasik dengan Arsenal, yang berharap membina momentum selepas membenam PSV Eindhoven 7-1 dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu, mendominasi pegangan bola tetapi kedua-dua pasukan tidak banyak mencipta peluang.

Fernandes akhirnya memecah kebuntuan beberapa saat sebelum rehat dan bertentangan dengan arus perlawanan menerusi satu sepakan percuma menarik yang melepasi benteng serta jangkauan penjaga gol David Raya.

Ia kali pertama United mendahului ketika rehat dalam aksi EPL sejak 1 Disember lalu.Babak kedua lebih menghiburkan dengan kedua-dua pasukan terlepas peluang sebelum Rice menyamakan kedudukan pada minit ke-74 apabila dia menyambut hantaran Jurrien Timber sebelum merembat kencang dari penjuru kotak penalti melepasi Andre Onana.

Rice meraikannya dengan menuding jari ke arah penyokong United di Stretford End.

“Ada sedikit gurauan bola sepak antara saya dan peminat,” kata Rice.

“Ia kawasan (padang) yang saya mahu berada dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, saya membuat lebih banyak larian.

“Saya mempunyai banyak tenaga untuk mengejar bola dan bola juga banyak dihantar kepada saya jadi saya mencipta lebih banyak peluang.”

Pertahanan United, Noussair Mazraoui seperti tidak percaya apabila Raya menahan dengan kaki percubaannya pada awal babak kedua.

Martin Odegaard mempunyai peluang besar apabila Arsenal mengumpan sepakan sudut pendek kepada pemain Norway itu tetapi rembatannya ditumbuk melepasi palang oleh Onana.

Jika Raya mungkin boleh dikritik kerana melepaskan sepakan percuma Fernandes, penjaga gol itu memastikan seri buat pasukannya dengan satu tindakan penyelamat memukau pada saat akhir.

Dia menyelamatkan satu percubaan Fernandes dan kemudian pantas mengeluarkan bola dari atas garisan ketika ia menuju kembali ke arah gol.

sumber:- BH

Perlawanan itu bermula selepas kira-kira 5,000 penyokong United, kebanyakannya berpakaian hitam, berarak ke Old Trafford untuk memprotes pemilik kelab itu, yang dikritik kerana persembahan buruk pasukan di tengah padang, selain harga tiket melambung serta pemberhentian pekerja. – REUTERS