Mo Salah terus mencipta rekod demi rekod ketika Liverpool menewaskan Manchester City 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad.
Penyerang Mesir berusia 32 tahun itu, menjaringkan gol dan mencipta satu bantuan jaringan di venue juara bertahan EPL itu.
Salah kini mengumpul 51 gol dan bantuan jaringan yang mengagumkan dalam semua kejohanan musim ini. Di EPL sahaja, dia menjaringkan 25 gol dan 16 bantuan jaringan ketika berbaki 11 lagi perlawanan utama.
Musim yang luar biasa itu hadir ketika masa depannya di Anfield masih tidak pasti. Namun, penyokong terpesona apabila dia mempamerkan prestasi kelas dunia untuk memecahkan enam lagi rekod dalam satu malam.
Salah menyudahkan gol pembukaan Liverpool di Eastlands, dengan meledakkan bola ke penjuru atas ketika pertahanan City memberi ruang terlalu banyak kepadanya susulan sepakan percuma awal.
Dia kemudiannya membantu Dominik Szoboszlai menjaringkan gol kedua hasil kepantasannya sebelum melorongkan bola kepada pemain Hungary itu yang menyudahkannya dengan rembatan tepat ke gawang.
Jaringan Salah dan bantuan golnya menjadikan dia pemain pertama dalam sejarah EPL terbabit lebih 40 gol dalam dua musim berbeza.
Dia juga pemain pertama dalam lima liga utama Eropah terlibat secara langsung dalam 50 gol pada semua kejohanan musim ini.
Salah kini menjaringkan gol dan mencipta bantuan jaringan dalam 11 perlawanan EPL berbeza musim ini. Itu yang terbanyak dilakukan seorang pemain sejak Lionel Messi melakukan perkara sama untuk Barcelona pada musim 2014/15.
Bekas pemain tengah England, Steve McManaman telah lama memegang rekod bantuan gol di Anfield dengan 15 kali pada musim 1995/96.
Namun, Salah kini mengambil alih rekod itu dengan 16 bantuan golnya musim ini lebih banyak daripada mana-mana pemain Liverpool dalam sejarah EPL.
Hari yang penuh rekod untuk Salah di Etihad tidak berakhir di situ. Gol dan bantuan golnya menjadikannya pemain pertama dalam sejarah EPL melakukannya dalam kedua-dua perlawanan menentang juara bertahan itu dalam satu musim.
Salah kini pemain pertama menjaringkan lebih daripada 25 gol dan mencatatkan lebih daripada 15 bantuan gol dalam satu musim EPL.
Dia juga semakin menghampiri musim terbaik La Liga milik Messi, yang menyaksikan bintang Argentina itu mengumpul 61 gol dan bantuan gol.
Penyokong Liverpool juga tidak sabar membandingkan kejayaan Salah dengan Messi dan Cristiano Ronaldo pada usia yang sama.
Pada usia 32 tahun pada 2019/20, Messi mencatatkan 58 penglibatan gol semasa bersama Barcelona. Ronaldo pula berada di Real Madrid pada 2017/18 ketika berusia sama, dengan 52 gol dan bantuan gol.
sumber:- HM
Salah kini memiliki 51 penglibatan gol setakat 23 Februari – dan masih ada sekurang-kurangnya 14 perlawanan lagi.