“Kalau semua pemain dapat dikumpulkan (skuad utama) dan dilepaskan kelab, ia mungkin (boleh mara sejauh mungkin) siapa tahukan. Apapun saya gembira lalui perjalanan ini.”
Demikian kata pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente yang akui kehilangan beberapa tonggak utama sedikit menjejaskan persembahan pasukan sepanjang kempen Piala Asean 2024 kali ini.
Bagaimanapun, Vicente tegaskan adalah tidak adil untuknya mengenepikan kemampuan skuad campuran kali ini yang sebenarnya memiliki potensi besar untuk maju sekali gus menjadi tunjang baharu kepada kekuatan skuad Harimau Malaya selepas ini.
“Saya fikir pasukan ini juga boleh pergi jauh. Saya fikir, kita juga tidak boleh nafikan yang sepatutnya kita boleh layak ke separuh akhir. Agak sukar untuk saya katakan peluang jika kita ada skuad utama, kerana tidak adil buat pasukan ini.
“Bagi saya pemain ini (skuad Piala Asean 2024) adalah pemain terbaik. Tapi dalam konteks lain atau situasi lain, kalau semua pemain dapat dikumpulkan dan dilepaskan kelab, ia mungkin (lepasi peringkat kumpulan), siapa tahukan.
“Apapun, kenangan yang akan saya simpan adalah saya gembira lalui perjalanan ini bersama pemain yang sudah lama bersama. Mungkin dalam 70 pemain atau lebih kami latih.
“Kesemua mereka bagi saya pemain yang bagus. Jadi tidak kisah siapa yang datang atau tidak ke dalam kem kebangsaan, mereka sudah lakukan yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala Asean di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.
Dalam aksi itu, skuad Harimau Malaya terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada kempen Piala Asean selepas tersingkir daripada kejohanan selepas sekadar terikat tanpa jaringan dengan Singapura.
Pasukan negara wajib memburu kemenangan bagi membolehkan anak buah Vicente mara ke separuh akhir namun dengan keputusan seri itu, Malaysia sekadar mengakhiri saingan di tangga ketiga Kumpulan A sekali gus menyaksikan Singapura mengiringi Thailand ke peringkat seterusnya.
Sebelum ini, persiapan skuad kebangsaan terganggu ekoran keengganan beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) dan kelab Thailand yang tidak melepaskan pemain ke kem negara.
Ia susulan pertandingan domestik tetap berjalan selain aksi Piala Asean dikatakan berlangsung di luar kalendar Fifa yang menyebabkan Vicente terpaksa menggunakan khidmat skuad gabungan antara pemain baharu dan lama.
Antara pemain utama yang tidak bersama pasukan seperti Arif Aiman Hanapi, Syihan Hazmi, Akhyar Rashid, Safawi Rasid serta Dion Cools yang beraksi untuk Buriram United yang memberi kesan kepada corak permainan skuad negara.
Selain itu, Vicente yang akan meninggalkan pasukan negara selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik jurulatih baharu bermula 1 Januari ini berharap skuad negara akan terus mempamerkan peningkatan selepas ini.
“Pemain Malaysia mempunyai potensi besar. Pastikan mereka terus bekerja keras dan mencapai standard yang boleh kita capai. Legasi pasukan ini harus terus berkembang. Kami berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023 selepas sekian lama, dan ini adalah pencapaian yang akan diingati.
“Ia perlu dikekalkan, jadi saya harap legasi ini tidak berakhir tetapi diteruskan dan jika meningkat dah tentu saya gembira,” katanya yang mula dilantik sebagai penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon pada 2022 sebelum dinaikkan pangkat menggantikan Pan-gon pada Julai lalu.
sumber:- HM
Untuk rekod, FAM mengumumkan Peter Cklamovski dari Australia sebagai jurulatih baharu negara dan diberi sasaran untuk layak ke Piala Asia 2027 nanti.