Tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengumumkan kehadiran pengendali baharu, Peter Cklamovski ketika skuad negara sedang ‘berjuang’ dalam kempen Piala AFF 2024 di bawah kendalian Pau Marti Vicente disifatkan sebagai satu tindakan yang ‘menghairankan’.
Pandangan itu disuarakan Vicente ketika ditanya pada sidang media pra perlawanan dengan pengendali dari Sepanyol itu mengakui pengumuman terbabit tidak mendatangkan sebarang faedah kerana skuad kebangsaan yang ketika ini sedang fokus untuk bersaing pada ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ terbabit.
“Saya rasa sejak awal (kejohanan) lagi segala yang berlaku sedikit pelik. Malah, saya tidak tahu kebaikan apa yang boleh diberikan jika mengumumkan berita kehadiran jurulatih baharu sedangkan kami masih di sini.
“Namun, perkara itu diluar kawalan kami, jadi apa yang boleh kami lakukan adalah fokus pada sesi latihan dan juga perlawanan supaya kami dapat memberikan yang terbaik pada aksi berdepan Singapura esok,” katanya.
Sebagai rekod, badan induk itu akhirnya menamatkan teka teki mengenai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Isnin lalu.
Ia selepas badan induk itu mengumumkan bekas pengendali FC Tokyo, Peter Cklamovski sebagai pengganti Vicente.FAM dalam kenyataan sama turut mengumumkan bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain sebagai pengendali baharu skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.
“Bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dari Australia dilantik untuk menggalas tugasan ini selepas beliau dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan,” kata FAM.
sumber:- BH
Cklamovski yang kini berusia 46 tahun pernah bekerja selama lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 2019 ketika mereka mengemudi kelab Jepun, Yokohama F. Marinos.