Pemain muda bola sepak negara kini berpeluang melebarkan sayap ke Liga Thailand susulan pertemuan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dengan Presiden Persatuan Bolasepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madame Pang.
Perkembangan mengenai pertemuan itu dikongsikan menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers (JST), hari ini.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Mrs Nualphan Lamsam, Presiden Persatuan Bolasepak Thailand yang turut dikenali sebagai Madame Pang pada hari ini, 19 Disember 2024.
“Perbincangan tertumpu kepada langkah-langkah untuk mengukuhkan hubungan antara Johor dan Thailand, termasuk memberikan lebih banyak peluang kepada pemain bola sepak muda Malaysia untuk beraksi di Thailand. Luaskan Kuasamu Johor,” kata JST.
JST turut berkongsi di mana Tunku Mahkota Ismail berkesempatan menyaksikan perlawanna akhir Piala Antara Benua FIFA 2024 antara Real Madrid menentang Pachuca Stadium Lusail di Doha, Qatar malam tadi.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail sudahpun mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin bola sepak dari luar negara, malam tadi.
Antara individu berkenaan termasuk Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, Erick Thohir dan pemilik kelab Valencia, Peter Lim.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi laman Instagram miliknya memaklumkan pertemuan itu turut membincangkan mengenai bola sepak dan rancangan masa depan.
Baru-baru ini, Tunku Mahkota Ismail juga sudah bertemu dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino di Doha, Qatar, Selasa lalu.
sumber:- BH
Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, pertemuan itu bertujuan memberikan penerangan kepada Infantino mengenai projek skuad kebangsaan yang sudah dimulakan oleh Tunku Mahkota Ismail.