sukan

FAM akhirnya buka mulut isu pengadilan aksi JDT-Sri Pahang

Pengadil dan pengadil VAR menunjukkan prestasi amat baik ketika perlawanan Liga Super antara Sri Pahang FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, FAM sentiasa mengutamakan persembahan prestasi pengadil yang cemerlang dan tidak berkompromi dalam kualiti pengadil.

“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan Pengadil dan Pengadil VAR menunjukkan prestasi amat baik dalam perlawanan tersebut.

“Keputusan untuk pemberian sepakan penalti pada minit 90’+4 dan layangan tiga kad kuning dalam perlawanan tersebut adalah tepat dan dibuat berpandukan Undang-undang Permainan Fifa dan Protokol VAR.

“Unit Pengadil FAM juga membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan perlawanan tersebut dan mendapati Pengadil dan Pengadil VAR menunjukkan satu prestasi yang cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Sivasundaram berkata, FAM juga menyediakan program pemurnian dan pemulihan untuk pengadil Liga Malaysia demi memastikan kualiti kepengadilan di negara ini sentiasa dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Antara program-program tersebut ialah ‘Pre-match Debriefing’, ‘Post Match Debriefing’, ‘Match analysis’ dan ‘ Refresher Course’ yang mana ia dibuat setanding dengan penanda aras yang ditetapkan oleh AFC dan Fifa,” ujarnya.

Tambahnya lagi, FAM dan MFL sudah menjalankan “road-show” iaitu Taklimat Undang-undang Perlawanan dan VAR Protokol untuk ke semua pasukan yang bertanding di Liga Malaysia 2024-2025.

“Ia dijalankan dengan objektif untuk memberi pendedahan dan pemahaman tentang pengendalian dan penggunaan teknologi VAR dalam Liga Malaysia 2024-2025.

“Setakat ini 141 perlawanan dilangsungkan yang menggunakan teknologi VAR . Situasi ini seharusnya memberi ruang yang baik bagi setiap pasukan terlibat dalam Liga Malaysia untuk memahami protokol VAR,” jelasnya.

Pada masa sama, Sivasundram juga mengingatkan FAM sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada mana-mana pasukan yang ingin mengetahui berhubung dengan penggunaan teknologi VAR dan Protokol di Liga Malaysia 2024-2025.

sumber:- HM

Terdahulu, pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad dilaporkan mengecam mutu pengadilan Ahmad Zuhaidi Dzulkifli yang disifatkan berat sebelah selepas pasukannya tewas 3-1 kepada JDT.