Skuad Harimau Malaya menggalas misi besar di Phnom Penh apabila akan membuka saingan Kumpulan A kempen Piala ASEAN 2024 menentang Kemboja di Stadium Olimpik, esok.
Berdepan masalah dalam menghimpunkan skuad terbaik, mata seluruh peminat bola sepak tanah air ketika ini akan tertumpu kepada percaturan yang bakal dilakukan Pau Marti Vicente dalam membentuk skuad campuran tanpa ramai tonggak utama.
Ketika Vicente sedang merencanakan ramuan terbaik untuk menghadapi Kemboja, muncul pula gangguan lain apabila sesi latihan skuad negara seakan ‘diintip’.
Sambil meluahkan kekecewaannya, pengendali dari Sepanyol itu memaklumkan terdapat dron yang dianggap mengganggu sesi latihan skuad negara di Phnom Penh, semalam.
“Secara keseluruhannya (persiapan) bagus. (Namun) kami berdepan isu dron (terbang) di atas padang latihan kami semalam. Ia sedikit mengganggu dan saya agak kecewa berdepan keadaan itu.
“Kami mahu pastikan dron tidak berada di sana lagi. Kami hanya meneruskan sesi latihan kerana perkara paling penting adalah apa yang kami mahu lakukan,” katanya.
Piala ASEAN 2024 juga menjadi tugasan terakhir Vicente bersama skuad kebangsaan apabila pada Khamis lalu dia mengumumkan akan meninggalkan Harimau Malaya selepas kejohanan itu.
Ditanya adakah pengumuman itu memberi kesan kepada moral pasukan, Vicente menjelaskan semua orang yang berada dalam skuad termasuk pemain adalah profesional dan mereka memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan.
“Saya harap tidak (jejaskan moral pasukan). Saya fikir pada akhirnya saya tidak boleh mengawal semua perkara dan ia masa terbaik untuk umumkan kerana apabila kejohanan berlangsung, kami tidak mahu ada gangguan,” katanya.
Meskipun memiliki rekod cemerlang berdepan Kemboja, Harimau Malaya bagaimanapun dijangka akan berdepan tugas sukar susulan ketiadaan ramai pemain utama selain Kemboja juga mempunyai pemain lebih bagus terutama mendapat khidmat beberapa pemain naturalisasi.
Dua penyerang, Nieto Rondon dan Abdel Kader Coulibaly serta pemain pertahanan, Takaki Ose menjadi antara pemain naturalisasi yang akan memperkuatkan skuad Kemboja bagi Piala ASEAN 2024.
Perkara itu turut berada dalam perhatian Vicente dengan dia menganggap Kemboja bukan sahaja akan memberi cabaran sukar kepada Malaysia, malah juga kepada pasukan lain dalam Kumpulan A.
“Tiada perlawanan yang mudah terutama dalam kejohanan rasmi dan beraksi di tempat lawan. Kemboja juga ada ramai pemain yang bagus, malah mereka dapat khidmat pemain naturalisasi.
sumber:- BH
“Jadi, ia akan menjadi lawan yang kuat, bukan sahaja untuk kami, tetapi juga kepada Thailand, Singapura dan Timor Leste,” katanya.