Selepas bermandi peluh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit minggu lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali fokus terhadap aksi Liga Super apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandad Puteri, malam esok.
Dengan bermulanya pusingan kedua saingan liga, JDT yang masih gah di tangga teratas sudah tentu meletak sasaran ingin mengekalkan dominasi dan rekod tanpa kalah dipertahankan musim ini.
Apa pun pemain tengah JDT, Juan Muniz enggan terlalu dibuai rasa terlalu selesa ketika skuad Harimau Selatan masih berada di puncak liga memandangkan KL City bukan calang-calang pasukan yang mudah ditewaskan.
Katanya, apa yang penting setiap pemain perlu beraksi dengan mengekalkan corak permainan intensiti tinggi dan paling utama sentiasa memberi fokus di posisi tengah yang menjadi nadi utama skuad kendalian Miroslav Kuljanac.
“Lawan yang kami akan hadapi dibarisi pemain yang bagus dan mereka mengawal corak permainan pantas, justeru kami perlu berhati-hati dengan kelibat beberapa pemain mereka.
“Namun kelebihan terletak di tangan JDT kerana beraksi di laman sendiri sudah tentu kami akan bersungguh-sungguh sepanjang 90 minit selain mahu memulakan pusingan kedua liga dengan nota kemenangan.
“Malah bagi aksi menentang KL City, keyakinan yang tinggi perlu ada pada setiap pemain dan kami tidak boleh mengambil sikap mudah pada perlawanan itu nanti,” katanya.
sumber:- BH
Muniz juga enggan mengulas kerana JDT turut berdepan KL City pada suku akhir Piala Malaysia, sebaliknya pemain dari Sepanyol itu lebih selesa untuk memberi tumpuan satu demi satu perlawanan.