sukan

Gout lebih hebat daripada Bolt, pecah rekod 56 tahun

Pelari pecut muda sensasi Australia, Gout Gout, mencipta sejarah apabila mencatatkan masa terpantas dalam sejarah untuk seorang remaja berusia 16 tahun, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) hari ini.

Lebih mengejutkan, pencapaian itu adalah sesuatu yang tidak pernah dicapai legenda pecut dunia, Usain Bolt.

Remaja berusia 16 tahun itu mencatatkan masa 20.04 saat (s) di Kejohanan Olahraga Sekolah Seluruh Australia di Brisbane, memadam rekod kebangsaan 20.06s yang dicipta Peter Norman pada Sukan Olimpik 1968.

Prestasi luar biasa Gout membuatkan media tempatan menyamakannya dengan Bolt, dengan catatan itu diiktiraf sebagai masa terpantas dalam sejarah bagi seorang remaja 16 tahun dalam acara 200m, menurut Olahraga Dunia.

Selain itu, Gout kini memegang rekod kedua terpantas sepanjang zaman untuk atlet bawah 18 tahun, memintas catatan 20.13s milik Bolt.

“Ini masa untuk atlet dewasa, tapi saya, hanya seorang budak, mampu mencatatkannya. Masa depan saya pasti cerah,” kata Gout dengan penuh keyakinan.

“Saya tak sangka akan secepat ini, tapi nampaknya saya mencatat masa terpantas Australia dalam acara 200m.

“Saya memang mengejar rekod itu, tapi tak pernah sangka akan pecah tahun ini. Saya fikir mungkin tahun depan atau selepas itu,” tambahnya.

Kejayaan ini hadir hanya sehari selepas Gout mencatat masa 10.04s dalam acara 100m dengan bantuan angin, menunjukkan bakat besar yang dimilikinya.

“Orang kata, tekanan menghasilkan berlian, dan nampaknya saya lebih baik daripada berlian sekarang,” katanya.

sumber:- HM

Gout dijangka akan berangkat ke Amerika Syarikat bulan depan untuk menjalani latihan bersama juara Olimpik acara 100m, Noah Lyles, lapor penyiar ABC.