sukan

Bintang Liverpool sahkan miliki hubungan ‘istimewa’ dengan Perak FC

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan kelab Liga Malaysia (Liga M), Perak FC miliki hubungan ‘istimewa’ sekali gus mencuri tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia.

Ia susulan bintang bola sepak The Reds, Alexis Mac Allister akui arkitek tengah Perak FC, Luciano Guaycochea adalah sepupunya yang beraksi dengan skuad The Bos Gaurus itu.

Menerusi satu temubual bersama lagenda England, Gary Lineker dalam The Rest Is Football itu, Mac Allister akui kesemua ahli keluarganya adalah pemain bola sepak profesional termasuk Guaycochea.

“Bagi kami, bola sepak adalah segalanya. Anda tahu bapa saya bermain bola sepak dengan Diego Maradona, orang yang amat bertuah. Bapa dan bapa saudara saya bermain bola sepak.

“Abang-abang saya, Francis dan Kevin juga bermain bola sepak, seorang bermain di Belgium dengan seorang lagi bermain di Argentina. Jadi, ada empat pemain bola sepak (dalam keluarga saya).

“Kemudian, sepupu saya (Guaycochea) bermain di Malaysia sekarang (dengan Perak FC). Sudah tentu datuk saya bermain bola sepak tetapi tidak secara profesional.

“Ya, bola sepak cukup bermakna buat kami dan itulah sebab kami bermain dan menikmatinya,” katanya sekali gus menarik perhatian peminat bola sepak Eropah kepada Liga M.

Begitupun, pendedahan itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana pada musim lalu Guaycochea pernah berkongsi gambar di laman sosialnya bersama Mac Allister dengan menyerahkan jersi Perak kepada tonggak tengah Liverpool itu.

Guaycochea akui Mac Allister adalah sepupunya dan ia mendapat liputan meluas media tempatan pada tahun lalu.

sumber:- BH

Untuk rekod, Guaycochea adalah nadi utama Yusri Che Lah dan pemain itu diberi peranan sebagai ketua pasukan sepanjang musim ini.