Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak berdiam diri apabila disindir oleh penyokong Liverpool selepas kekalahan 0-2 pasukannya di Anfield.
Guardiola, yang menerima sorakan ‘anda akan dipecat esok pagi’ daripada penyokong tuan rumah, membalas dengan mengangkat enam jari, merujuk kepada enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dimenanginya bersama City dalam tujuh musim terakhir.
Kekalahan itu adalah yang keenam buat City dalam tujuh perlawanan terakhir, menyaksikan mereka kini ketinggalan 11 mata di belakang Liverpool, pendahulu liga.
Pengurus berusia 53 tahun itu baru sahaja melanjutkan kontraknya di Etihad sehingga 2027, namun pernah menyatakan tidak akan terus kekal jika keputusan pasukannya tidak bertambah baik.
Namun, sindiran penyokong Liverpool nampaknya tidak mematahkan semangat Guardiola, yang menggunakan peluang itu untuk mengingatkan mereka mengenai dominasi City di liga, termasuk dua kemenangan kejuaraan yang diperoleh dengan memintas Liverpool pada musim 2018/19 dan 2021/22.
“Semua stadium mahu saya dipecat. Ia bermula di Brighton (ketika kekalahan 1-2 City pada 9 November),” kata Guardiola dengan nada menyindir.
“Mungkin mereka betul berdasarkan keputusan yang kami dapat kebelakangan ini.”Kekalahan itu juga meneruskan rekod buruk Guardiola di Anfield.
City tewas enam kali daripada 10 kunjungan ke sana sejak beliau mengambil alih pasukan, dengan satu-satunya kemenangan berlaku dalam keadaan stadium tanpa penyokong akibat pandemik Covid-19 pada 2021.
“Saya tidak menjangka itu berlaku di Anfield. Saya tidak menjangka daripada penyokong Liverpool, tetapi tidak mengapa,” kata Guardiola.
sumber:- HM
“Ia sebahagian daripada permainan, dan saya faham sepenuhnya. Kami melalui perlawanan sengit bersama. Saya tetap menghormati mereka.”